[VIDEO] Wan Maimunah jual ayam golek di Wakaf Beruas
PELAKON veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 68, mencuri tumpuan apabila menjual juadah berbuka puasa di gerai ayam golek 'Ferris Wheel' milik anaknya di Kampung Wakaf Beruas di Kuala Terengganu, sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Wan Maimunah, ini kali pertama dirinya terlibat secara langsung dalam perniagaan tersebut bagi memberi sokongan kepada anaknya, Muhammad Shah Muhammad, 45, selain mengambil peluang bertemu peminat di sekitar Terengganu.
"Saya bersyukur kerana sambutan diterima amat menggalakkan. Ramai datang bukan sahaja untuk membeli ayam golek dan nasi beriani, tetapi juga untuk beramah mesra.
"Saya seronok dapat berjumpa dengan orang ramai terutama peminat dari Terengganu.
"Ramai dari jauh beritahu nak datang, ada dari Dungun, Kemaman,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, petang Khamis.

Wan Maimunah lebih mesra digelar sebagai ibu berkata, gerai terletak di tepi jalan itu mula beroperasi sejak awal Ramadan lalu dan dibuka setiap hari bermula jam 3 hingga 6.30 petang.
"Setiap hari kami menyediakan kira-kira 70 ekor ayam golek dijual pada harga RM25 seekor, selain nasi beriani pada harga RM5 sebungkus. Set lengkap ayam golek bersama nasi beriani pula dijual pada harga RM28 dan setengah set pada RM16,” katanya.
Wan Maimunah yang terkenal dengan watak ibu penyayang dalam drama tempatan turut meluangkan masa membantu menyediakan nasi beriani yang dimasak mengikut olahan resipi sendiri.
"Saya datang lebih awal hari ini, lepas solat Asar terus ke gerai untuk membantu.
"Buat masa ini saya kebetulan tiada jadual untuk penggambaran sebarang drama, jadi saya ambil kesempatan ini untuk bersama-sama anak dan cucu," katanya.
Sementara itu, Muhammad Shah berkata, gerai mereka akan beroperasi sehingga dua hari terakhir Ramadan.
"Pada hari keempat berniaga ini, ayam golek habis terjual seawal jam 5.30 petang. Saya bersyukur dan gembira dengan sambutan yang diterima," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Khairul Azman, 35, turut meluahkan rasa teruja dapat bertemu dengan Wan Maimunah secara bersemuka.
"Selalu tengok ibu di televisyen, hari ini dapat jumpa depan mata.
"Bukan sahaja dapat bergambar, kami sekeluarga siap beli ayam golek lagi. Memang terbaik ayam golek dan nasi beriani ibu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

