Negeri Sembilan catat 526 kes 'scammer' tempoh sebulan, rugi RM21 juta

SEREMBAN - Kes 'scammer' di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan sebanyak 195 kes dengan kerugian lebih RM21 juta antara Januari hingga Februari lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Negeri Sembilan telah membuka kertas siasatan sebanyak 526 kes bagi tempoh itu berbanding 331 kes tahun lepas.
Menurutnya, modus operandi yang menjadi trend kumpulan sindiket itu ialah penipuan pelaburan termasuk saham, forex, crypto dan emas sebanyak 77 kes dengan jumlah kerugian hampir RM10 juta.
"Ia diikuti 'love scam' sebanyak sembilan kes berjumlah RM1 juta dan 56 kes tipu tawaran kerja di platform media sosial dengan kerugian sebanyak RM777,000.
"Selain itu, 92 kes tipu belian barangan dalam talian babit RM744,000 dan 36 kes 'phone scam' dengan menyamar sebagai PDRM, SPRM, LHDN, kastam dan pegawai bank berjumlah RM442,000 serta 67 kes tipu pinjaman tidak wujud catat kurugian RM345,000," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Ahmad Dzaffir berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai sebarang skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Dapatkan maklumat daripada sumber rasmi seperti portal SEMAKMULE CCID, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai sebarang skim pelaburan.
"Jika terkesan sebarang pangilan mencurigakan, hubungi NSRC ditalian 997 untuk mendapatkan bantuan pengesahan pegawai polis serta memaklumkan kes penipuan dialami," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak sesekali menyerahkan no pin akaun bank dan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada pihak lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi di mana-mana perbankan internet bagi mengelakkan akaun di godam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

