Mantai Puasa Negeri Sembilan: Subsidi RM1.9 juta, barangan Ramadan lebih murah

SEREMBAN - Penganjuran Mantai Puasa Negeri Sembilan di 49 lokasi terpilih bermula 25 Februari hingga 2 Mac ini memperuntukkan subsidi mencecah RM1.9 juta.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, inisiatif di bawah Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) itu menarik pengunjung mendapatkan barangan mentah dengan harga lebih rendah dari pasaran.
Menurutnya, antara barangan yang mendapat perhatian pengunjung ialah daging lembu tempatan bertulang yang dijual pada harga serendah RM25 hingga RM28 per kilogram (kg).
"Harga ditawarkan itu adalah lebih rendah berbanding RM36 hingga RM40 pada hari biasa.
"Pelbagai barangan keperluan utama semasa Ramadan turut diketengahkan termasuk beras pulut, ketupat, santan dan lain-lain," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Selain itu katanya, turut dilaksanakan ialah PJRM @ Pasar di Negeri Sembilan menawarkan jualan barangan dengan harga 30 peratus lebih rendah membabitkan subsidi hampir RM38,000.
Ujarnya, program tersebut akan diteruskan di pasar-pasar terpilih dari tujuh daerah dalam negeri sepanjang tahun ini.
Pada masa sama katanya, KPDN Negeri Sembilan juga bercadang untuk meneruskan momentum PJRM dengan pelaksanaan PJRM Mantai Raya.
KPDN Negeri Sembilan mempelawa seluruh rakyat untuk terus menyokong inisiatif Payung Rahmah ini dengan berbelanja di lokasi-lokasi PJRM yang ditetapkan.
Maklumat lanjut mengenai PJRM peringkat Negeri Sembilan boleh dirujuk di media sosial KPDN Negeri Sembilan Facebook: KPDN Negeri Sembilan, Instagram: @kpdnns, TikTok: @kpdnns dan X: @KPDNNSembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

