Perkenal kerangka ekonomi sumber sedia ada

SHAH ALAM - Kerangka ekonomi berasaskan sumber sedia ada boleh diperkenalkan bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang serta mengekalkan momentum pembangunan di sesebuah negeri yang dikategorikan miskin.
Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Nanthakumar Loganathan berkata, secara tidak langsung, ia menyediakan peluang pekerjaan baharu berdasarkan kerangka ekonomi yang dibangunkan tersebut.
Menurutnya, kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berupaya mengekalkan tenaga mahir di sesebuah negeri tanpa mereka perlu berhijrah ke lokasi lain bagi mendapatkan tawaran pekerjaan dan pendapatan lebih tinggi.
“Kerajaan negeri perlu membangunkan kerangka ekonomi yang berdaya tahan dengan mengekalkan atau mencipta pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan.
“Sesuatu negeri menjadi miskin bukan kerana rakyatnya tidak berkemampuan, tetapi disebabkan ramai penduduk berhijrah ke luar, yang tinggal pula kebanyakannya terdiri daripada tenaga kerja kurang produktif,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa enam negeri termiskin perlu berusaha memastikan jurang kemiskinan antara negeri dikecilkan.
Menurut Rafizi, enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain sejak 2021.
Nanthakumar berpendapat, kebanyakan tenaga mahir di enam negeri terbabit kemungkinan telah berhijrah dan bermastautin di negeri lain seperti contoh Selangor, Pulau Pinang dan Johor atas faktor peluang kerjaya serta tawaran pendapatan yang lebih tinggi.
“Ramai rakyat dari negeri ini berpindah ke kawasan lain dan menyumbang kepada ekonomi negeri tersebut.
"Jika kita perhatikan, mereka yang tinggal di negeri asal pula kebanyakannya melakukan pekerjaan biasa dan kurang kompetitif.
“Namun negeri yang dianggap miskin ini kemungkinan membabitkan kawasan luar bandar, di mana penduduknya tidak terlalu terkesan dengan kemiskinan kerana kos sara hidup yang lebih rendah,” jelasnya.
Beliau turut membandingkan keadaan di bandar besar seperti Kuala Lumpur (KL), di mana kos sara hidup lebih tinggi berbanding negeri yang dikategorikan miskin.
“Di KL, gaji RM3,000 pun masih dianggap miskin kerana perbelanjaan tinggi, tetapi di negeri asal mereka, jumlah itu sudah cukup untuk hidup selesa kerana kos sara hidup yang lebih rendah...dan ada B40 juga adalah dalam kalangan miskin bandar,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berharap kerangka strategi yang lebih baik dapat mengurangkan penghijrahan tenaga mahir dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang kompetitif di negeri yang miskin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

