Enam negeri termiskin perlu usaha kecilkan jurang kemiskinan - Rafizi

KUALA LUMPUR - Enam negeri termiskin perlu berusaha memastikan jurang kemiskinan antara negeri lain dikecilkan dan tidak hanya mengharapkan peruntukan tinggi terus disalur kerajaan pusat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hakikatnya enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain sejak tahun 2021.
"Saya berharap (usaha) untuk menutup jurang ini tidak diserahkan kepada kerajaan persekutuan semata-mata (kerana) ini tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh kerajaan negeri masing-masing.
"Supaya bila ada hubungan begini baru kita boleh tarik pelaburan dan perniagaan masuk. Kalau semata-mata dilihat untuk menutup jurang (kemiskinan), ini adalah permohonan untuk mendapatkan peruntukan besar daripada kerajaan persekutuan telah berlaku sejak 2021 dan diteruskan hingga sekarang.
"Tetapi tiada tanda-tanda bahawa jurang itu akan dapat ditutup dengan baik. Saranan saya, kerajaan negeri perlu menyambut baik dan mempunyai kerangka ekonomi yang mesra perniagaan yang perlu diusahakan bersama," katanya bagi menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Sementara itu menjawab soalan asal Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai penambahbaikan proses pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Rafizi menjelaskan, pelaksanaan pembangunan projek itu kini dipecahkan kepada dua kategori.
"Projek bernilai tinggi melebihi RM300 juta, permohonan hanya boleh dikemukakan setiap dua tahun sekali bermula rancangan pembangunan antara 1 hingga 31 Mac 2025.
"Sekiranya tidak dikemukakan kali ini, peluang seterusnya adalah pada 2027, manakala bagi projek bernilai bawah RM300 juta, ia boleh dikemukakan setiap tahun menerusi 'rolling plan' seperti biasa.
"Tujuan kita pisahkan kerana satu faktor menyumbang pada pelaksanaan projek yang cacamarba ialah kerana perancangan dibuat tidak berpadanan dengan saiz projek," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
