'Sampai bila kami nak bayar saman parkir?'

ISU kekurangan tempat letak kenderaan di Pangsapuri Blok C dan D, Taman Petaling Utama, PJS 1/52 di Petaling Jaya, Selangor terus membelenggu penduduk, dengan ramai antara mereka tidak mampu membayar saman akibat meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, MOHD AZLIM ZAINURY menyingkap keluhan dan luahan penghuni, yang sudah lali dengan tindakan saman tetapi masih menantikan penyelesaian yang berkesan daripada pihak berkuasa.
----------------------------------------------------------------------------
BEBERAPA lot parkir yang sepatutnya digunakan oleh penghuni turut disalahgunakan sebagai tempat menyimpan kenderaan rosak.
Hal ini menyebabkan penghuni lain tidak mempunyai pilihan selain meletakkan kenderaan di luar kawasan pangsapuri, sekali gus terdedah kepada risiko dikenakan saman oleh pihak berkuasa tempatan atau polis.
Wakil Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Blok C dan D, Sugumaran S Muniandy, 56, berkata, masalah ini berlarutan sejak sekian lama disebabkan kekurangan lot parkir berbanding jumlah rumah di pangsapuri tersebut.
“Hanya terdapat 300 lot tempat meletak kereta, sedangkan jumlah unit kediaman di sini adalah 625. Akibatnya, ramai penghuni terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan utama dan akhirnya dikenakan saman oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (BBPJ).
“Saman yang diterima semakin banyak dan mustahil untuk dijelaskan kerana kebanyakan kami terdiri daripada golongan B40,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Seorang lagi penduduk, Muniamah Maniam, 47, meluahkan rasa kecewa kerana ada individu yang tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan rosak di kawasan parkir, malah ada yang menggunakannya sebagai stor barang peribadi dan perniagaan.
“Keadaan ini amat menyusahkan penghuni lain. Mereka yang pulang bekerja lewat malam, tiada pilihan terpaksa meletakkan kereta di mana-mana sahaja, termasuk di kawasan pembuangan sampah.
“Kadang-kadang lori sampah tidak dapat masuk kerana ada kereta menghalang laluan, menyebabkan penduduk terpaksa membuat parkir secara berlapis,” katanya.
Muniamah turut mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan laluan bas awam supaya melalui kawasan perumahan mereka bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
“Salah satu punca ramai penduduk memiliki kereta adalah kerana tiada pengangkutan awam yang melalui kawasan ini.
“Jika ada bas yang melalui jalan utama di PJS 1, lebih ramai penghuni boleh menggunakan perkhidmatan tersebut dan tidak lagi perlu memiliki lebih daripada satu kenderaan dalam satu isi rumah,” katanya.
Sementara itu, selain cadangan perkhidmatan bas, penduduk juga berharap pihak MBPJ dan kerajaan negeri dapat membina parkir bertingkat di kawasan lapang berhadapan Blok C dan D.
Menurut Sugumaran, tapak kosong itu asalnya adalah kawasan pembinaan Pangsapuri Blok E, namun projek tersebut terbengkalai.
“Pihak berkuasa boleh membina tempat letak kereta bertingkat di kawasan tersebut dan menguruskannya secara sistematik dan berbayar pada kadar munasabah.
“Ini bukan sahaja menyelesaikan isu tempat letak kereta tetapi juga mengurangkan jumlah saman yang terpaksa ditanggung penduduk,” katanya.
Seorang lagi penghuni, Mahendran Subramananiam, 62, turut menyokong cadangan tersebut kerana masalah parkir di kawasan itu bukanlah isu baharu.
“Kami mohon bantuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah ini. Setiap kali meletakkan kereta di bahu jalan, kami akan disaman.
“Ini membebankan penduduk, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” ujarnya.
Penduduk berharap isu ini mendapat perhatian serius pihak berkuasa agar penyelesaian jangka panjang dapat dicapai bagi menjamin kesejahteraan mereka.
Penduduk cadang bina parkir bertingkat di kawasan lapang
SELAIN cadangan perkhidmatan bas, penduduk juga berharap pihak MBPJ dan kerajaan negeri dapat membina parkir bertingkat di kawasan lapang berhadapan Blok C dan D.
Menurut Sugumaran, tapak kosong itu asalnya adalah kawasan pembinaan pangsapuri Blok E, namun projek tersebut terbengkalai.
“Pihak berkuasa boleh membina tempat letak kereta bertingkat di kawasan tersebut dan menguruskannya secara sistematik dan berbayar pada kadar munasabah.
“Ini bukan sahaja menyelesaikan isu tempat letak kereta tetapi juga mengurangkan jumlah saman yang terpaksa ditanggung penduduk,” katanya.
Seorang lagi penghuni, Mahendran Subramananiam, 62, turut menyokong cadangan tersebut kerana masalah parkir di kawasan itu bukanlah isu baharu.
“Kami mohon bantuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah ini. Setiap kali meletakkan kereta di bahu jalan, kami akan disaman.
“Ini membebankan penduduk, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” ujarnya.
Penduduk berharap isu ini mendapat perhatian serius pihak berkuasa agar penyelesaian jangka panjang dapat dicapai bagi menjamin kesejahteraan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


