Tiga pengacara radio Era FM disiasat polis - KPN

SHAH ALAM - Polis membuka kertas siasatan berhubung video kontroversi yang tular di media sosial membabitkan tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersenda satu perayaan agama baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya menerima enam laporan polis berkaitan isu berkenaan.
"Siasatan awal mendapati video tersebut telah dipadamkan oleh pihak stesen radio selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.
"Bagaimanapun, semakan mendapati video terbabit sempat ditonton sebanyak 95,400 kali dan turut dikongsi oleh 204 pengguna di media sosial," katanya pada Selasa.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, laporan polis dibuat oleh seorang individu yang menonton video tersebut di Facebook, mendakwa ia membabitkan beberapa individu dari stesen radio berkenaan mempersendakan agama Hindu.
"Menerusi rakaman itu, beberapa individu didakwa menjerit 'Vel Vel' manakala seorang lagi dilihat menari dengan aksi disifatkan memperlekehkan ritual keagamaan.
"Perbuatan itu dilihat menyentuh sensitiviti kaum serta boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini," katanya.
Terdahulu, tiga penyampai Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Effendi Ahmad Aruani dikenakan tindakan digantung siaran serta-merta selepas video kontroversi itu mengundang kemarahan orang ramai.
Astro Audio dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan mengambil tindakan segera terhadap semua yang terlibat.
Sementara itu, Radin menerusi satu kenyataan di media sosial mengakui kesilapan mereka dan berjanji perkara sama tidak akan berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

