SKMM digesa bertindak ke atas stesen radio persenda agama Hindu

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa bertindak ke atas sebuah stesen radio tempatan yang mempersendakan agama Hindu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan Prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.
"Saya dengan tegas mengutuk segala bentuk kelakuan yang mempersenda atau menghina mana-mana agama, termasuk agama Hindu, yang berlaku di sebuah stesen radio tempatan iaitu Era FM," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, sebagai sebuah negara yang majmuk, semua pihak seharusnya memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
"Sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum," ujar Aaron.
Menurutnya, semua pihak juga diingatkan agar tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama kerana tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius.
"Kita harus sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia," katanya lagi.
Terdahulu, video kontroversi yang telah diturunkan dari platform media sosial stesen radio berkenaan didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Ia memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut “Vel Vel” disusuli gelak tawa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

