Syarikat lori terbabit nahas ragut 7 nyawa didakwa bawa lebih 16 tan simen

ALOR GAJAH - Syarikat logistik yang terlibat dalam kemalangan tragis meragut tujuh nyawa pada 23 Disember tahun lalu, di hadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan membawa muatan melebihi had dibenarkan.
Orang Kena Saman (OKS), Yinson Transport (M) Sdn Bhd yang diwakili pengurus operasi, Ng Chee Keong, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Berdasarkan pertuduhan, OKS yang diwakili peguam Chew Jee San didakwa telah melanggar syarat lesen dengan membawa muatan serbuk simen seberat 68,260 kilogram (kg) iaitu lebihan 16,260kg daripada had dibenarkan iaitu 52,000kg.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di daerah Alor Gajah kira-kira jam 8.30 malam, pada 23 Disember 2024.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kenderaan tersebut dilucutkan hak berdasarkan Seksyen 80(4) akta sama.
Sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda minimum RM1,000 tetapi tidak lebih RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau keduanya sekali.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen dan waran tangkap dikeluarkan sekiranya OKS gagal hadir ke mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 April depan sebagai sebutan semula kes dan membenarkan permohonan pendakwaan.
Sinar Harian pada 10 Februari lalu melaporkan kemalangan yang mengakibatkan tujuh maut dipercayai berpunca daripada lori simen yang membawa muatan berlebihan, sehingga menyebabkan tayarnya tercabut.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaka, Muhammad Firdaus Sharif, berkata, hasil siasatan mendapati lori jenis Foton milik sebuah syarikat logistik di Johor dan dipandu lelaki berusia 32 itu disyaki membawa lebih muatan serbuk simen OPC sebanyak 31 peratus atau 16,260kg daripada had yang dibenarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

