Bawa lebihan muatan 16 tan, punca ragut tujuh nyawa

Muhammad Firdaus (kanan) memeriksa lesen motosikal seorang wanita yang ditahan dalam Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 di Lebuh AMJ pada malam Ahad.
Muhammad Firdaus (kanan) memeriksa lesen motosikal seorang wanita yang ditahan dalam Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 di Lebuh AMJ pada malam Ahad.
A
A
A

MELAKA - Kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Disember tahun lalu yang mengakibatkan tujuh maut dipercayai berpunca daripada lori simen yang membawa muatan berlebihan, sehingga menyebabkan tayarnya tercabut.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaka, Muhammad Firdaus Sharif, berkata, hasil siasatan mendapati lori jenis Foton milik sebuah syarikat logistik di Johor dan dipandu lelaki berusia 32 itu disyaki membawa lebih muatan serbuk simen OPC sebanyak 31 peratus atau 16,260 kilogram daripada had yang dibenarkan.

Susulan itu, katanya, kes pendakwaan terhadap syarikat tersebut akan dilakukan di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac depan setelah pihaknya berjaya menyerahkan saman kepada pemilik syarikat terbabit pada 7 Februari lalu.

JPJ Melaka melakukan Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 di Lebuh AMJ pada malam Ahad.
JPJ Melaka melakukan Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 di Lebuh AMJ pada malam Ahad.

"Kita akan dakwa mereka di bawah Seksyen 57 (1) (b) (vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan mohon juga dilucutkan kenderaan di bawah Seksyen 80 (4) APAD 2010," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar Operasi Khas Sempena Tahun Baru Cina 2025, di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, pada malam Ahad.

Media pada 23 Disember lalu melaporkan, lima sekeluarga antara tujuh terkorban manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah lori, treler, kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara.

Polis mengesahkan, tayar depan kanan kenderaan berat itu tercabut dan berada di lorong tengah, sebelum dilanggar bas persiaran menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan serta merempuh tiga kenderaan lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut menahan sebuah lori yang membawa lebihan muatan pasir sungai dalam operasi khas di Jasin pada 24 Januari lalu.

"Hasil siasatan mendapati kenderaan berat itu telah membawa lebihan muatan sebanyak 121 peratus daripada berat yang dibenarkan.

Muhammad Firdaus (kiri) menyoal siasat seorang penunggang motosikal disyaki mabuk dalam operasi itu.
Muhammad Firdaus (kiri) menyoal siasat seorang penunggang motosikal disyaki mabuk dalam operasi itu.

"Untuk kes ini juga kita memandang serius dan akan didakwa di mahkamah untuk untuk memohon dilucutkan hak kenderaan," katanya lagi.

Mengulas lanjut dalam operasi Tahun Baharu Cina, sebanyak 267 kenderaan dikesan melakukan 323 kesalahan daripada keseluruhan 2,419 kenderaan yang diperiksa.

"Kesalahan tertinggi yang dikesan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 94 kes, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh (88), kesalahan teknikal (85) dan lain-lain kesalahan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!