JAS guna dron perketat penguatkuasaan, pemantauan IPU

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat serta udara dengan menggunakan dron susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dicatatkan di Balok Baru, Pahang.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pihaknya juga akan memantau bacaan IPU dari masa ke masa.
“Koordinasi di antara agensi berkaitan bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut dilaksanakan. JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A serta 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke peringkat negeri berserta daerah terbabit.

“Langkah itu bagi mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah dan Negeri serta melaksanakan tindak balas berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan susulan bacaan IPU di Balok Baru mencecah 201 hingga 300,” katanya pada satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendedahkan kawasan Balok Baru merekodkan bacaan IPU kategori sangat tidak sihat iaitu 250 setakat 5 petang pada Isnin.
Ia dipercayai berpunca daripada kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular, Pahang.
Selain itu, menurut laporan IPU yang direkodkan di laman web JAS setakat jam 4 petang, terdapat 30 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 37 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 3 Mac 2025 turut melaporkan rantau ASEAN selatan mengalami cuaca mendung di kebanyakan bahagian kecuali Semenanjung Malaysia dan utara Sumatera.
Tambahnya, beberapa kawasan panas terpencil telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia dan tengah Sumatera dengan kepulan asap setempat dipercayai berpunca dari titik panas di pantai timur semenanjung.
“Justeru, semua pemilik tanah dinasihati untuk memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang serta kawasan pertanian dan industri.
“Mereka juga perlu mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” ujar beliau.
Wan Abdul Latiff berkata, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1,000,000 atau penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) Pindaan 2024.
“Di samping itu, kompaun juga boleh dikenakan tidak melebihi 50 peratus denda maksimum.
“Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 manakala JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
