Astro Oasis kekal penyiar utama World #QuranHour 2025

SHAH ALAM - Astro Oasis kekal menjadi penyiar utama program World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang akan berlangsung pada 25 Mac depan.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berkata, pihaknya sekali lagi diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menyiarkan program berkenaan secara langsung di kaca televisyen.

Menurut beliau, kesemua rakan media dialu-alukan untuk mengambil 'feed' atau mengulang siar penstriman langsung World #QuranHour 2025 agar berlangsung serentak pada hari terbabit.
“Mana-mana program di bawah WUIF amat penting. Ia kerana pada zaman yang penuh dengan kemelut dan ketidakpastian agama, politik mahupun gaya hidup, ada satu perkara penting iaitu masyarakat berkumpul baca serta fahamkan mesej dalam al-Quran.
“Sudah semestinya bukan sekadar membaca, tetapi menghayati dan mentaddabur ayat al-Quran. Ini satu pengalaman yang amat indah kerana kita hanya fokus kepada satu perkara selama sejam, hal lain tolak tepi.
“Itulah yang menjadi ramuan kejayaan WUIF sehingga gerakan siri #QuranHour berjaya mencapai 10 tahun,“ katanya ketika majlis taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF merangkap pentaddabur, Fazrul Ismail dan qari, Syukri Ali.
World #QuranHour kali ini bakal berlangsung di lokasi perdana iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Organisasi media yang turut hadir bagi menjayakan penganjuran World #QuranHour bertemakan #SavingTheUmmah tersebut ialah Sinar Harian, Sinar Daily, Nu Ideaktiv, Bernama, Astro Awani, TV Alhijrah, TV3, RTM, TV9, Media Prima, Utusan TV, Utusan Malaysia, Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV IKIM, IKIM FM, ZAYAN dan Denaihati.com.
UIAM, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Karya Bestari, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MPAM), Akademi Sinergi Ikhlas, Rasuah Busters, Sahabah al-Quran, Rumah Ngaji, My#HadithTime dan Soul Fitness turut serta selaku rakan strategik.
Nadirah berpandangan, penglibatan media dalam World #QuranHour 2025 diharap dapat mendidik orang ramai dan memperoleh pahala berpanjangan lantaran usaha menyebar luas program berkenaan.
“Sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai media dan menggunakan platform sedia ada untuk menyebarkan inisiatif yang sangat bagus ini,“ ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

