SPRM nafi pilih bulu kes wartawan terima rasuah RM20,000

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya tidak pernah memilih bulu dalam menjalankan siasatan membabitkan isu rasuah termasuk terhadap individu bergelar wartawan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan seorang wartawan portal berita baru-baru ini dibuat berdasarkan bukti kukuh bahawa lelaki terbabit dipercayai meminta dan menerima suapan wang tunai sebanyak RM20,000.
Menurutnya, siasatan mendapati wang itu diterima sebagai balasan bagi menurunkan artikel yang disiarkan serta tidak menerbitkan lagi laporan mengenai sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket kemasukan pekerja asing.
"SPRM tidak pernah pilih bulu dalam melaksanakan siasatan.
"Sesiapa sahaja yang terbabit dalam rasuah, termasuk wartawan atau ahli politik, tetap akan disiasat tanpa pengecualian," katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan SPRM menahan wartawan terbabit, sebaliknya meminta siasatan lebih tertumpu kepada dakwaan rasuah membabitkan ejen pekerja asing dan pegawai imigresen di pintu masuk negara.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan menahan wartawan itu sebagai 'janggal' kerana individu terbabit hanya melaporkan dakwaan salah laku membabitkan penyeludupan pekerja asing tanpa izin (PATI).
"Pas percaya lebih wajar SPRM mendahulukan siasatan terhadap dakwaan sindiket penyeludupan PATI berbanding menahan wartawan yang sekadar menjalankan tugas," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, penahanan wartawan berusia 49 tahun itu dibuat selepas siasatan mendapati suspek meminta wang suapan sebanyak RM100,000 daripada agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket berkenaan.
Bagaimanapun, selepas rundingan, suspek bersetuju menerima pendahuluan sebanyak RM20,000 sebelum ditahan dalam operasi di sebuah hotel di Shah Alam pada jam 11.45 malam, Jumaat lalu.
Wartawan terbabit kini direman selama empat hari sehingga 4 Mac selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

