SPRM tahan wartawan: GKMM, NUJ mahu siasatan telus

SPRM menahan seorang wartawan sebuah portal tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah.
SPRM menahan seorang wartawan sebuah portal tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menggesa agar siasatan telus dijalankan susulan penahanan reman seorang wartawan sebuah portal berita tempatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

GKMM dalam satu kenyataan menuntut pihak berkuasa memastikan keadilan ditegakkan terhadap semua pihak yang terlibat serta individu disiasat.

Pihaknya juga mengesyorkan agar pengamal media disiasat memberi kerjasama penuh bagi melancarkan proses siasatan.

"Pengamal media juga tertakluk kepada undang-undang seperti masyarakat lain, dan seharusnya bersedia untuk melalui proses perundangan ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, NUJ menghormati proses siasatan dijalankan SPRM namun menegaskan prinsip 'tidak bersalah sehingga dibuktikan' perlu dipertahankan.

"NUJ berharap siasatan dijalankan dengan adil serta memberi ruang kepada wartawan terbabit untuk membela diri. Kami juga menggesa agar dia diberikan akses kepada nasihat guaman yang sewajarnya," katanya.

NUJ turut menekankan keperluan siasatan dilakukan secara telus tanpa sebarang tekanan atau tindakan yang boleh menjejaskan kebebasan media di negara ini.

Pada Jumaat, SPRM menahan seorang wartawan sebuah portal tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan dibuat di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira jam 11 malam.

Artikel Berkaitan:

"Penahanan dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, bukannya mengenai laporan berita pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Dipercayai wartawan berkenaan meminta sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan iaitu RM20,000 untuk tidak mengeluarkan artikel berhubung isu penyeludupan PATI,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!