Wartawan direman disyaki minta, terima rasuah daripada ejen pekerja asing

SHAH ALAM – Seorang wartawan portal berita tempatan direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah selepas disyaki meminta dan menerima wang kira-kira RM20,000 daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Beveniyah R Jothi di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Sabtu.
Lelaki berumur 40-an itu direman sehingga 4 Mac ini selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek pada mulanya disyaki meminta wang sebanyak RM100,000, namun selepas rundingan, suspek bersetuju menerima 'pendahuluan' kira-kira RM20,000.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 11 malam, Jumaat di sebuah hotel di Shah Alam.

"Penahanan ini dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, bukannya mengenai laporan berita pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti yang tular sebelum ini.
"Dipercayai wartawan berkenaan meminta wang sebanyak RM20,000 daripada ejen pekerja asing sebagai balasan untuk tidak menulis artikel berhubung isu penyeludupan PATI," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambahnya, wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 turut disita sebagai barang kes.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

