Tiada lemang RM30 di Kuala Pilah

KUALA PILAH - Dakwaan harga lemang naik hingga RM30 susulan isu kekurangan bekalan kelapa dan santan di pasaran tidak berlaku di Kuala Pilah.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi sekitar daerah itu mendapati peniaga menaikkan harga antara RM1 ke RM3 dan ada antaranya masih mengekalkan jualan RM15 sebatang.
Seorang peniaga ditemui, Julia Ujang, 63, berkata, kenaikan harga santan menyebabkannya terpaksa menaikkan harga jualan sebanyak RM1 daripada RM15 ke RM16.

"Santan naik harga dari RM10 satu kilogram (kg) ke RM14. Buluh pun naik harga dulu RM1 sekarang RM1.30, ada yang jual hingga RM1.50.
"Walaupun barang banyak naik harga tapi saya tak sampai hati nak naikkan harga lemang terlalu tinggi hanya RM1 saja," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini tular di media sosial dakwaan kemungkinan lemang akan naik harga sehingga RM30 susulan isu kekurangan bekalan kelapa dan santan.
Katanya, sebagai peniaga makanan, dia tiada masalah mendapatkan bekalan santan kepada pembekal sedia ada namun perlu bersiap sedia dengan kenaikan bekalan itu.
"Dari segi bekalan tiada masalah tapi kena siap sedia kenaikan harga kerana pembekal maklum harga sebiji kelapa boleh naik sehingga RM5.
"Tambahan pula menjelang musim perayaan, kalau harga barang naik kita terpaksa juga naikkan harga jualan," katanya.
Seorang lagi peniaga, Zaiful Zulkifli, 28, berkata, jualan lemang warisan keluarga masih dikekalkan harga RM15 sebatang walaupun berdepan masalah kenaikan harga santan dan beras pulut.
"Harga masih dikekalkan sebab kalau kita jual mahal takut orang tak nak beli, kita jual murah pun masih ada yang minta turunkan harga lagi.
"Masih untung tapi tak banyak sebab santan dulu RM10 sekarang RM15, beras pulut 10kg pula daripada RM40 kini mencecah lebih RM50," katanya.
Ujarnya, kos operasi dapat dikurangkan apabila buluh tidak diambil kepada pihak ketiga tetapi didapatkan sendiri di hutan berhampiran.
Ditanya kemungkinan lemang akan dinaikkan hingga RM30 jika isu kekurangan bekalan berterusan hingga Syawal, Zaiful berkata, keadaan itu mustahil berlaku di Kuala Pilah.
"Tidak ada melambung sampai RM30, jika dijual RM18 ke RM20 tu ada, tapi jika sampai RM30 tiada di Kuala Pilah mungkin berlaku sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Seorang lagi peniaga, Diana Malik Chiew, 33, berkata, menaikkan jualan lemang daripada RM15 ke RM18 tahun ini dan kemungkinan mencecah hingga RM20 menjelang Syawal jika isu kekurangan kelapa berterusan hingga tempoh itu.

Bagaimanapun katanya, peniaga menaikkan harga sehingga RM30 dianggap melampau seolah dengan sengaja mengambil kesempatan di atas isu kekurangan bekalan.
"RM18 pun orang dah mengeluh nak beli, kalau beli sebatang tak cukup jika orang ramai. Namun jika ada yang beli banyak kami bagi kurang RM1 ke RM2 bergantung kepada kuantiti.
"Memang banyak barang naik tapi kalau ada yang jual sampai RM30 itu sudah dikira mengambil kesempatan dan harap KPDN boleh ambil tindakan kepada peniaga tersebut," katanya.
Dia turut menegaskan setakat ini tiada peniaga di Kuala Pilah menaikkan harga lemang sehingga RM30 dan yang pernah dijumpai hanya RM20 namun menggunakan buluh saiz besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

