Tentera Darat nafi dakwaan kekurangan bekalan pakaian anggota

Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan
Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan bahawa anggota mereka menghadapi masalah bekalan pakaian tidak mencukupi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perolehan pakaian anggota dibuat secara berterusan dan tidak berlaku sebarang isu kekurangan seperti yang didakwa pihak tertentu.

“Kontrak asal perolehan pakaian telah tamat pada Julai 2015, namun bekalan sentiasa mencukupi untuk keperluan anggota.

"Jika terdapat keperluan tambahan, perolehan dibuat secara terus mengikut keperluan semasa.

“Kami sentiasa melakukan semakan dan evaluasi bagi memastikan setiap anggota mempunyai kelengkapan mencukupi, termasuk pakaian dan peralatan operasi,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Tentera Darat ke-92 di Kem Perdana Sungai Besi, pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak mahu spekulasi tidak berasas menjejaskan imej Tentera Darat yang sentiasa menjaga kebajikan anggota.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengesahkan bahawa kontrak asal perolehan helikopter Black Hawk telah dibatalkan dan kerajaan kini sedang merancang untuk membuka tender semula.

Menurutnya, beberapa syarikat telah menawarkan cadangan baharu bagi membekalkan helikopter tersebut.

“Nilai projek masih dianggarkan sekitar RM200 juta bagi sewaan lima tahun untuk empat helikopter. Walaupun terdapat cabaran dalam proses ini, kami tetap membuka ruang kepada mana-mana syarikat yang berkelayakan untuk mengemukakan cadangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Tentera Darat juga bakal menerima empat helikopter AW149 dengan kapasiti Medium Lift menjelang tahun 2027. Helikopter berkenaan akan digunakan untuk operasi latihan dan tugas ketenteraan, sekali gus membantu meningkatkan keupayaan operasi Tentera Darat.

“Walaupun jumlahnya kecil, ia tetap membantu mengurangkan jurang keupayaan Tentera Darat dalam melaksanakan operasi sedia ada,” katanya.

Muhammad Hafizuddeain turut menyeru lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya dari kalangan kaum bukan Melayu, untuk menyertai Tentera Darat.

Menurutnya, statistik semasa menunjukkan penyertaan kaum Cina hanya 0.3 peratus, kaum India 1.3 peratus, manakala penyertaan dari Sabah dan Sarawak sekitar sembilan peratus.

“Kita tak boleh hanya bergantung kepada satu kaum sahaja untuk mempertahankan negara.

"Kita perlukan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat bagi memastikan angkatan tentera yang lebih inklusif,” katanya.

Untuk menarik minat lebih ramai rakyat, Tentera Darat sedang mengkaji peningkatan imbuhan dan manfaat bagi memastikan kerjaya dalam tentera lebih kompetitif dari segi ekonomi.

Mengulas mengenai sambutan ulang tahun yang diadakan, Muhammad Hafizuddeain berkata majlis berlangsung dengan penuh adat ketenteraan di Kem Perdana Sungai Besi, melibatkan 1,916 pegawai dan anggota dari pelbagai elemen Tentera Darat.

Tema sambutan tahun ini ialah “Sinergi Bersama Tentera dan Rakyat: Pembangkit Inspirasi Angkatan Masa Depan”, yang menekankan hubungan erat antara tentera dan rakyat dalam menjayakan agenda Angkatan Masa Hadapan menjelang 2030.

“Kita mahu membentuk angkatan tentera yang ampuh, strategik dan berkeupayaan menghadapi ancaman pelbagai domain, termasuk darat, laut, udara dan siber,” katanya.

Malah dalam usaha meningkatkan keupayaan teknologi ketenteraan, TDM juga memperkenalkan inisiatif Talent Spotting untuk menarik individu berbakat dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita mahu menarik individu yang mempunyai kepakaran dalam teknologi supaya mereka boleh menyumbang kepada pertahanan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!