11 tahun tinggal haram, warga Indonesia dipenjara 53 bulan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Indonesia yang berada di Malaysia secara haram dijatuhkan hukuman dipenjara 53 bulan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hukuman itu bagi kesalahan memasuki dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen dan pas yang sah selama 11 tahun.
"Lelaki itu antara 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap semasa operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur pada awal Februari lalu.
"Sepanjang berada di Malaysia, lelaki terbabit telah bekerja dengan beberapa majikan secara tidak sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seramai 18 lelaki dan 19 perempuan telah didakwa dengan pertuduhan kerana pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen dan pas yang sah, tinggal lebih masa dan memiliki pas berbentuk cap palsu di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tambah beliau, dalam sidang mahkamah tersebut, hakim telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas 34 PATI dengan tempoh antara satu hingga 53 bulan.
"Selain hukuman penjara, seorang PATI telah dikenakan hukuman denda RM10,000 kerana kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua orang PATI lagi telah ditangguhkan perbicaraan ke tarikh lain," katanya.
Tegasnya, JIM Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan warga asing yang melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen atau pas yang sah, tinggal lebih masa daripada tempoh pas atau permit yang dibenarkan serta telah melanggari syarat-syarat pas yang dikeluarkan.
"Pihak majikan juga diberi amaran keras supaya tidak menggajikan PATI atau melindungi mana-mana PATI kerana tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas mereka," katanya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan oleh JIM akan terus dipertingkatkan dan diperluaskan ke semua lokasi penempatan dan sektor pekerjaan.
"Jabatan menyeru mana-mana PATI di Kuala Lumpur agar segera menyerah diri di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mengelakkan dikenakan hukuman yang lebih berat sekiranya ditangkap semasa operasi penguatkuasaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
