Perbaiki mutu pengangkutan awam

SHAH ALAM - Mutu perkhidmatan pengangkutan awam perlu diperbaiki selari dengan pelaksanaan caj kesesakan memastikan matlamat mengurangkan jumlah kenderaan masuk ke pusat bandar khususnya Kuala Lumpur dapat realisasikan.
Pakar Pengangkutan, Dr Rosli Azad Khan berkata, sebagaimana keberkesanan caj kesesakan telah terbukti di negara luar, cadangan pelaksanaan caj sama di negara ini juga diyakini sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang akan masuk ke pusat bandar.
Menurutnya, langkah itu perlu kerana kaedah alternatif bagi mengurangkan kesesakan kawasan pusat bandar amat terhad, bahkan membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam dengan menggunakan pendapatan daripada caj perkhidmatan adalah satu langkah yang amat bijak dan harus diadakan dalam kadar segera.
“Sebenarnya pengangkutan awam yang sedia ada lebih daripada mencukupi tetapi mesti ditingkatkan kekerapan atau frekuensi perkhidmatan LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Transit Aliran Massa) dari masa menunggu selama 10 min waktu puncak dan 15 minit di luar waktu puncak.
“Frekuensi ini tidak lagi sesuai dengan penambahan pengguna yang dijangka meningkat. KTMB Komuter juga mesti meningkatkan perkhidmatan mereka dengan menambah perkhidmatan dan mengurangkan masa menunggu tren yang sekarang terlalu lama, 30 minit.“Tentang last mile atau batu terakhir pula, sebenarnya Monorail yang tersedia ada antara KL Sentral melalui Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut hingga Sentul Timur, boleh memainkan peranan ini dengan meningkatkan lagi perkhidmatan sekarang dengan menambah bilangan gerabak dan memendekkan kekerapan dari 10 min kepada 5 minit,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rosli, kekurangan kenderaan sebanyak 20 peratus berkenaan telah pun dicatatkan di New York selepas mengenakan caj kesesakan sebanyak AS$9 kepada setiap kenderaan yang memasuki pusat bandar.
Namun beliau berkata, sekiranya caj kesesakan mahu dilaksanakan di Kuala Lumpur, memadai dikenakan pada kadar separuh daripada itu buat permulaan.
“Selain mengenakan caj kesesakan, sebenarnya tidak banyak cara atau pendekatan yang sesuai yang boleh diambil selain daripada melarang pembinaan bangunan atau gedung-gedung baharu di pusat bandaraya seperti yang berlaku semenjak 20 tahun yang lepas.
“Tetapi langkah ini akan menjadi lebih tidak popular dalam kalangan pemaju dan pihak pemodal, jika dibandingkan dengan caj kesesakan.
“Jadi pilihannya adalah amat terhad, antara dua langkah ini sahaja,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
