Naik taraf pengangkutan awam sebelum kenakan caj kesesakan - Pemuda MCA

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pelaksanaan caj kesesakan di pusat bandar.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, infrastruktur pengangkutan awam perlu dibaiki secara menyeluruh termasuk memastikan penyelenggaraan berkala serta mengurangkan gangguan perkhidmatan.
“Projek infrastruktur seperti Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) dan Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) perlu disiapkan terlebih dahulu bagi memastikan jaringan pengangkutan awam lebih lancar serta menyeluruh.
“Dengan adanya sistem pengangkutan awam yang cekap dan mudah diakses, orang ramai lebih cenderung beralih daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.
"Pada ketika itu, pelaksanaan caj kesesakan boleh dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pelaksanaan caj kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.
Dr Zaliha berkongsi, demi memastikan kejayaan inisiatif di peringkat kajian itu, kadar caj kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun menegaskan cadangan caj kesesakan kepada pemandu yang memasuki kawasan tertentu pada waktu puncak dan sekatan nombor plat bagi mengurangkan jumlah kenderaan di Lembah Klang masih tidak sesuai dilaksanakan ketika ini.
Beliau berkata, ia kerana sistem pengangkutan awam harus diperkasakan terlebih dahulu sebelum boleh mengkaji pelaksanaan caj kesesakan itu seperti dibuat negara maju.
Mengulas lanjut, Yew Chuan menyifatkan percanggahan kenyataan antara Zaliha dan Anthony sebagai bukti kelemahan koordinasi dalam kerajaan.
"Kenyataan bercanggah antara Zaliha dan Anthony Loke menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Minggu lalu, Anthony menyatakan Kabinet masih belum membuat keputusan manakala Zaliha menunjukkan kerajaan sedang mengkaji langkah tersebut.
“Kerajaan sepatutnya berbincang secara mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan berbeza yang boleh mengelirukan rakyat,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
