Polis kesan video provokasi isu keselamatan negara

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kandungan video provokasi yang tular di aplikasi TikTok yang memanipulasi fakta mengenai serbuan fasiliti haram sampah elektronik (e-waste) di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, video berdurasi tiga minit 44 saat itu telah menimbulkan kegusaran awam.
Katanya, kandungan video itu bersifat provokasi tentang situasi tangkapan warga asing yang menggambarkan ancaman keselamatan negara terutama kawalan sempadan tidak terkawal.
"PDRM memberi jaminan tahap keselamatan negara khususnya sempadan sentiasa diberi keutamaan dan kawalan ketat dengan inisiatif penguatkuasaan secara bersepadu berlandaskan undang-undang.

"Masyarakat dinasihatkan agar berhati-hati ketika mencipta kandungan, mengeluarkan dan memuat naik sebarang kenyataan serta ulasan yang boleh mencetuskan kegusaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang mengancam keharmonian, kesejahteraan dan mewujudkan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kata Azmi, Op Hazard yang dilaksanakan pada 15 Februari lalu telah menyerbu 47 lokasi dengan nilai rampasan RM2.86 bilion.

Jelasnya, hasil serbuan itu telah menahan 246 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing membabitkan tujuh negara.
"Suspek yang ditahan disiasat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Senjata 1960, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024)," ujarnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan serbuan polis oleh elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) membongkar sebuah kilang e-waste di Telok Panglima Garang, Selangor dengan penemuan kira-kira 50 tan peluru serta kelongsong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
