Kelewang jambul berusia 150 tahun, juara pertandingan kelewang jangok

Alwi (kiri) melihat kelewang-kelewang yang dipamerkan dan dipertandingkan pada Pertandingan Kelewang Jangok di pekarangan Muzium Negeri Kelantan pada Jumaat.
Alwi (kiri) melihat kelewang-kelewang yang dipamerkan dan dipertandingkan pada Pertandingan Kelewang Jangok di pekarangan Muzium Negeri Kelantan pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kehalusan seni pembuatan senjata alam Melayu, kelewang jambul berusia lebih 150 tahun mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kelewang Jangok di pekarangan Muzium Negeri Kelantan di sini pada Jumaat.

Senjata tradisional dipercayai berasal dari kesultanan Pattani, Thailand itu dimiliki oleh Nik Ilman Nik Anwar, 27, seorang peniaga kain batik lepas dari Pengkalan Chepa.

Nik Ilman menunjukkan kelewang jambul miliknya.
Nik Ilman menunjukkan kelewang jambul miliknya.

Menurut Nik Ilman yang mengumpul senjata lama sebagai hobi sejak kecil, kelewang tersebut berasal dari keturunan Pattani dan dibeli daripada waris kesultanan itu pada 15 tahun lepas.

“Saya tertarik dengan seni pertukangan lamanya. Ini kali pertama dipamer kepada umum dalam pertandingan dan rezeki menjadi juara.

“Kelewang ini bukan sekadar senjata tetapi warisan sejarah yang menunjukkan kehalusan kerja tangan orang dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Bilah kelewang tersebut diperbuat daripada besi pamor berkualiti tinggi, manakala hulunya dihasilkan daripada tanduk kerbau, panjangnya kira-kira 0.5 meter menjadikan ia antara kelewang klasik yang masih terpelihara dengan baik.

Nik Ilman berkata, dia tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan sebelum ini, namun percaya peminat barangan antik berani untuk menawarkan harga hingga puluhan ribu ringgit terhadap kelewang itu.

Artikel Berkaitan:

Antara kelewang yang dipamerkan pada Pertandingan Kelewang Jangok di pekarangan Muzium Negeri Kelantan pada Jumaat.
Antara kelewang yang dipamerkan pada Pertandingan Kelewang Jangok di pekarangan Muzium Negeri Kelantan pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, dia belum berniat untuk menjual kelewang tersebut dan mahu menyimpannya sebagai koleksi peribadi.

“Saya tidak melihatnya dari sudut keuntungan. Lebih penting bagi saya ialah menghargai seni pertukangan dan nilai sejarahnya,” ujar Nik Ilman.

Beliau juga menepis dakwaan bahawa senjata lama dikaitkan dengan unsur mistik.

“Ramai generasi muda takut dengan benda macam ini, sampai ada yang sanggup buang dalam tong sampah.

“Sebenarnya, kelewang berukir ini adalah hasil seni yang perlu dihargai,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan, Alwi Yusof berkata, Pertandingan Kelewang Jangok yang berlangsung sempena Pasar Karat mingguan di Kota Bharu bukan sekadar pertandingan senjata tradisional, tetapi bertujuan memperkenalkan barangan antik kepada golongan muda.

Menurut beliau, pertandingan itu adalah inisiatif untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan nenek moyang agar mereka lebih menghargai seni dan sejarah.

Peserta yang menyertai Pertandingan Kelewang Jangok di pekarangan Muzium Negeri Kelantan pada Jumaat.
Peserta yang menyertai Pertandingan Kelewang Jangok di pekarangan Muzium Negeri Kelantan pada Jumaat.

“Kita mahu mereka tahu bahawa kelewang bukan sekadar senjata, tetapi satu seni pertukangan yang kaya dengan nilai estetika.

“Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada peminat barangan antik untuk berkongsi ilmu dan koleksi masing-masing,” katanya.

Kata Alwi, seramai 30 peserta dari dalam dan luar Kelantan mengambil bahagian, dengan 37 kelewang dipamerkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!