Lebih 150 paus pembunuh palsu terdampar di Tasmania

HOBART – Lebih 150 ekor paus pembunuh palsu dilaporkan terdampar di sebuah pantai terpencil di Tasmania, Australia pada 19 Februari lalu.
Pegawai Perhubungan Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Tasmania, Brendon Clark berkata, hanya 90 ekor yang masih hidup daripada 157 paus terdampar.
“Ikan paus itu dipercayai terdampar kira-kira 24 hingga 48 jam yang lalu.
“Pasukan penyelamat kini giat berusaha menyelamatkan haiwan yang masih hidup,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.
Menurut Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Australia, pakar marin telah dikerahkan ke lokasi kejadian di Arthur River yang terletak sekitar 400 kilometer dari ibu negeri itu.
Clark bagaimanapun berkata, pihak berkuasa masih belum memastikan sama ada semua paus berkenaan boleh dikembalikan ke laut berikutan cabaran yang dihadapi dalam operasi menyelamat.
“Kami menghadapi pelbagai cabaran untuk mengapungkan semula paus-paus tersebut termasuk keselamatan petugas penyelamat, keadaan lautan bergelora serta lokasi pantai yang sukar diakses.
“Pasukan penyelamat sedang menilai kaedah terbaik dan berperikemanusiaan bagi situasi ini,” jelasnya.
Clark mengesahkan bahawa insiden ini merupakan kejadian pertama di Tasmania sejak tahun 1974 ketika lebih 160 ekor paus ditemui terdampar di barat laut Stanley.
Ketika ditanya tentang punca kejadian terbabit, Clark enggan membuat dakwaan dan menegaskan bahawa bangkai haiwan akan diperiksa untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Seorang penduduk tempatan, Jocelyn Flint berkata, anaknya menemui paus-paus tersebut sekitar tengah malam Selasa lalu.
“Air laut semakin naik dan mereka kelihatan bergelut. Banyak ikan paus sedang nazak dan tenggelam dalam pasir.
“Terdapat juga anak paus kecil di antara yang terdampar, ia sangat menyedihkan,” katanya.
Paus pembunuh palsu atau nama saintifiknya ‘Pseudorca Crassidens’ merupakan spesies ikan lumba-lumba yang menyerupai paus Orca.
Spesies tersebut boleh membesar sehingga 6.1 meter panjang dengan berat antara 500 kilogram hingga tiga tan metrik.
Antara faktor yang boleh menyebabkan paus terdampar termasuk kekeliruan navigasi, penyakit, usia tua, kecederaan, melarikan diri daripada pemangsa serta keadaan cuaca ekstrem.
Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar Tasmania mengingatkan bahawa semua spesies paus dilindungi termasuk yang telah mati.
Sebarang gangguan terhadap bangkai haiwan tersebut merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
