Cara bayar hutang yang tidak ditemui pemiliknya

SALAH satu kaedah yang dibenarkan Islam ketika seseorang itu dalam keadaan kesusahan atau kesempitan wang ialah berhutang.
Bagaimanapun sering kali sebahagian daripada kita ‘terlanggar’ janji yang dibuat untuk melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh yang disepakati.
Hinggakan bagi sesetengah kes, pemilik wang atau pemiutang tersebut ada yang berpindah ke tempat lain dan ada juga yang meninggal dunia.
Persoalannya, apakah masih wajib dibayar hutang tersebut? Apakah dibolehkah duit hutang itu disedekahkan?
Pendakwah, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, membayar hutang adalah wajib bila sampai tempoh yang ditetapkan.

“Jika tuan hutang itu tidak ada (gagal dikesan), nescaya wajib kita mencarinya. Jika tuan hutang sudah mati, maka wajib diserahkan duit tersebut kepada warisnya.
“Oleh sebab itu haram bersedekah duit hutang yang tuannya sudah meninggal dunia sebelum menyerahkan duit tersebut kepada warisnya,” katanya di Facebooknya pada Isnin.
Bagaimanapun menurut Ustaz Azhar, jika warisnya juga tidak dapat ditemui lagi, maka ketika itu diharuskan bersedekah.
“Imam Al-Ghazali menyatakan, sesungguhnya segala dosa antara manusia adalah berkaitan harta. Maka wajiblah mengembalikan kepada tuannya ketika mampu.
“Jika tidak mampu kerana miskin misalnya, maka hendaklah meminta halal daripada tuannya.
“Dan jika tidak dapat meminta halal daripada tuannya kerana tidak dapat dikesan atau telah mati, andainya mampu bersedekah, maka bersedekahlah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sekiranya bersedekah pun tidak mampu, maka perbanyakkanlah melakukan amal kebajikan dan menyerahkan kepada ALLAH dalam keadaan rendah diri mudah-mudahan tuannya reda kepadanya pada hari kiamat kelak.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hutang adalah satu perkara yang amat besar kesannya dalam kehidupan seorang Muslim di dunia mahupun akhirat.
Lebih-lebih lagi jika hutang tersebut melibatkan hak-hak manusia yang semestinya diselesaikan terlebih dahulu semasa hidup.
ALLAH SWT memperincikan perkara berkaitan hutang ini dalam satu ayat yang panjang iaitu ayat ke-282 surah al-Baqarah yang menandakan penekanan amat serius mengenainya.
Berdasarkan ayat tersebut, perkara yang digalakkan ketika berhutang antaranya:
1 – Mencatat hutang (isi surat hutang dengan jelas).
2 – Penulis hutang adalah daripada orang yang adil.
3 – Janganlah mengurangkan sesuatu pun daripada hutang tersebut.
4 – Bagi orang yang lemah, perlu diwakilkan kepada wali.
5 – Bertakwa kepada ALLAH SWT sepanjang melaksanakan muamalah itu.
Jelasnya, bagi penghutang yang tidak mampu untuk mengembalikan semula harta yang dipinjamnya daripada tuannya yang telah meninggal dunia, maka penghutang tersebut wajib mengembalikan harta tersebut kepada ahli waris si mati.
“Namun begitu, jika penghutang tidak menjumpai mana-mana waris si mati untuk dipulangkan harta tersebut, maka harta itu boleh disalurkan kepada maslahat kaum Muslimin.
“Harta tersebut juga boleh disedekahkan kepada fakir miskin,” hurainya.

Ujarnya lagi, dalam kitab Syarh Riyad as-Solihin, harta yang dihutangi itu boleh disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana ALLAH SWT serta pahala diniatkan kepada tuannya.
Sebagai kesimpulannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan duit atau harta yang dihutangi itu perlulah diserahkan kepada baitulmal negeri masing-masing agar ia dapat digunakan bagi maslahat umum.
“Namun begitu, jika telah menjumpai waris si mati, maka harta atau wang itu boleh diserahkan kepada warisnya.
“Setiap penghutang perlulah mempunyai keazaman untuk melangsaikan hutangnya dengan apa cara sekalipun.
“Bagi yang mampu untuk menyelesaikan hutangnya, maka bersegeralah dalam menunaikan perbuat itu,” jelasnya.
Tambahnya, amat buruk pembalasan bagi sesiapa yang melengah-lengahkan serta memakan hartya orang lain.
Oleh itu tidak boleh ada alasan lagi untuk mengelakkan daripada melunaskan hak orang lain yang terdapat dalam harta kita, ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

