Suami berhutang dengan isteri? Jangan ingat boleh terlepas walau pasangan sudah tiada

JIKA sudah namanya hutang, sampai bila-bila pun ia tetap perlu dilunaskan sekalipun penghutang atau pemiutangnya sudah meninggal dunia.
Ia tidak akan lupus begitu sahaja, sebaliknya hutang berkenaan akan ‘diwariskan’ kepada ahli keluarga si mati yang akan melunaskannya.
Bagaimanapun, jika suami si mati sendiri yang berhutang dengan arwah isterinya, wajibkah ia dibayar? Adakah hutang itu juga dikira sebagai harta pusaka si mati?
Menjawab persoalan itu, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hutang terbabit tetap perlu dilangsaikan oleh suami kepada isterinya walaupun pasangannya itu sudah meninggal dunia.

Namun begitu dari segi jumlah hutang wajib dibayar, katanya, ia hanya sekadar amaun yang wajib diberi kepada waris sahaja.
“Apabila isteri kita meninggal dunia, suami dapat satu perempat harta pusaka peninggalan isteri (jika mereka mempunyai anak).
“Misalnya suami berhutang dengan arwah isteri sebanyak RM4,000, jadi dia wajib bayar RM3,000. Baki lagi RM1,000 itu merupakan satu perempat yang menjadi bahagian pusakanya daripada harta isterinya yang sudah dia ambil.
“RM3,000 itu sebenarnya merupakan bahagian untuk waris lain seperti ibu dan ayah arwah isteri serta anak lelaki dan perempuannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman YouTube miliknya pada Selasa.
Dalam pada itu, agamawan tersebut mengingatkan agar hutang itu tidak dibuat main atau dibiarkan hangus begitu sahaja.
“Kamu hutang dengan isteri dan isteri pula meninggal, anda hanguskan (hutang itu). Kelak, anda sendiri yang kena ‘bakar’ nanti,” titipnya.
Dalam pembahagian harta pusaka dalam Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hutang penghutang terhadap si mati termasuk dalam definisi harta pusaka.

“Ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat.
“Justeru hutang ialah harta si mati yang dipinjam dan wajib dikembalikan semula kepada ahli waris sebagai harta pusaka kerana pemilikan si mati sudah beralih kepada para waris,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1086: Cara membayar hutang kepada pemiutang yang meninggal dunia.
Disebabkan itulah, pejabat mufti tersebut menegaskan, wajib kepada penghutang untuk membayar hutang berkenaan kepada ahli waris si mati kerana ia menjadi sebahagian daripada harta pusaka.
“Harta si mati telah beralih pemilikan dengan sendirinya menjadi milik waris sesudah ketiadaan si mati.
“Oleh sebab itu, hutang tersebut tertakluk kepada pembahagian faraid yang telah ditetapkan oleh syarak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
