Misi kedua 66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di KLIA

66 penumpang rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan China akan menjalani saringan kesihatan di ADU, KLIA. -Foto Twitter Noor Hisham Abdullah
66 penumpang rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan China akan menjalani saringan kesihatan di ADU, KLIA. -Foto Twitter Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA – Seramai 66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.50 pagi tadi.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, kesemua mereka tiba di KLIA dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan dengan menaiki penerbangan AirAsia AK 8265.

“Hanya 66 dibawa pulang dari Wuhan manakala enam orang yang hadir di lapangan terbang tidak dapat menaiki pesawat berkenaan disebabkan isu kesihatan, seorang tarik diri dengan tidak hadirkan diri ke lapangan terbang, seorang tidak dapat turut serta disebabkan komitmen kerja manakala seorang lagi tidak dapat meninggalkan Wuhan kerana masalah logistik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, setibanya di KLIA, mereka perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Nilai bagi proses kuarantin selama 14 hari.

“Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan KKM telah bersiap sedia untuk melakukan saringan kesihatan kepada 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga masing-masing yang dibawa pulang dari Wuhan,” katanya.

Kejayaan misi kedua untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan itu adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk dari Kementerian Luar Negara (KLN), Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dan Kementerian Kesihatan.

Misi yang pertama digerakkan Kerajaan Malaysia pada 4 Februari lalu berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Artikel Berkaitan: