Tiga rakyat Malaysia terkandas di Sudan selamat tiba di Jeddah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Sudan berikutan pertempuran bersenjata di negara itu telah selamat tiba di King Faisal Naval Base, Jeddah, Arab Saudi awal pagi Jumaat dan mereka dijangka kembali ke tanah air pada Ahad ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, ketiga-tiga mereka telah tiba di Jeddah dengan kapal tentera laut Arab Saudi "Amanah” pada pukul 12.50 tengah malam waktu Malaysia.

Katanya, ini merupakan hasil usaha Kementerian Luar (Wisma Putra), Pasukan Khas Operasi Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi serta beberapa pihak lain.

Ketibaan mereka disambut Pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan kemudian dibawa ke tempat penginapan yang telah disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi, menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga mereka dijangka tiba di tanah air pada 5 pagi (waktu Malaysia) pada 7 Mei melalui pesawat Saudia SV842 yang telah diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi membantu rakyat Malaysia keluar dari Sudan dan menyediakan fasiliti sepanjang berada di Jeddah.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.

Beliau turut menyarankan kepada rakyat Malaysia yang menpunyai saudara atau kenalan rakyat Malaysia yang didapati berada di Sudan supaya berhubung dengan Wisma Putra untuk membantu mencari mereka.

Sebelum ini media melaporkan Zambry berkata terdapat tiga lagi rakyat Malaysia yang tidak berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dan masih terkandas di sana.

Pada 28 April, operasi evakuasi Ops Sudan telah berjaya mengeluarkan dan membawa pulang 30 orang rakyat Malaysia dari Sudan.

Konflik bersenjata antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah mengorbankan sekurang-kurangnya 550 orang manakala lebih 5,000 cedera dan lebih 100,000 penduduk melarikan diri ke negara jiran sejak pertempuran tercetus pada 15 April. - Bernama