Projek Laluan Berkembar Persisir Pantai Utara mula dibina pada 2026

GEORGE TOWN - Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Berkembar Persisir Pantai Utara (Pakej 1) yang menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang sepanjang 10.61 kilometer (km) dijangka bermula tahun hadapan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut dianggarkan bernilai RM2.9 bilion termasuk RM500 juta bagi pengambilan tanah akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
Menurutnya, 2.2km daripadanya akan melalui laluan pesisir pantai yang mana kira-kira 70 peratus daripada jalan tersebut pula akan merentasi kawasan bukit.
"Pakej 1 akan menjadi laluan alternatif dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang. Kerja pembinaan akan bermula tahun depan dan dijangka siap 2031.
“Apabila siap kelak, perjalanan dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, yang kini mengambil masa antara 30 hingga 45 minit akan dikurangkan kepada hanya tujuh minit,” katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.
Jelas Kon Yeow, Pakej 1 merupakan salah satu daripada tiga projek jalan berkembar dan pautan ketiga di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
"Kerajaan negeri akan membiayai 4.88km daripada keseluruhan 10.61km projek jalan berkembar itu, dari Jalan Tanjung Bungah ke Jalan Sungai Emas melalui kaedah pertukaran tanah dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).
"Tanah yang terlibat dalam pertukaran itu terletak di kawasan Gurney Bay.
"Sementara itu, CZC akan membiayai baki 5.73km dari Jalan Sungai Emas ke Teluk Bahang melalui kaedah kontra bagi projek pembangunan syarikat itu di negeri ini pada masa hadapan," ujarnya.
Menjelaskan lanjut, Kon Yeow berkata, reka bentuk terperinci akan mengambil masa enam bulan untuk dimuktamadkan sebelum perjanjian tambahan ditandatangani.
"Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dikemas kini akan dilakukan bagi laluan baharu, khususnya bahagian pesisir pantai, dijangka mengambil masa 17 bulan. EIA bagi laluan darat telah pun diluluskan sebelum ini.
"Laluan baharu ini diperkenalkan bagi mengelakkan kawasan perumahan padat di Jalan Chee Seng, Jalan Chan Siew Teong, Marvista, Beverly Hills dan kawasan sekitarnya. Kerja pembinaan akan dimulakan selepas itu dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan," katanya.
Jelas Kon Yeow, kerajaan negeri menjangkakan hanya Kampung Mutiara di Batu Ferringhi yang akan terkesan dengan projek itu.
"Bagaimanapun, UDA telah merancang untuk membangunkan semula kawasan tersebut.
“Pembangunan semula ini juga akan sejajar dengan pelaksanaan Pakej 1,” tambahnya.
Beliau turut meminta CZC untuk mengambil kira status Rizab Biosfera Unesco yang diperoleh Pulau Pinang sebelum ini dalam pelaksanaan Pakej 1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

