PM ulangi amaran proses tender perlu ikut peraturan

PUTRAJAYA - Perdana Menteri mengulangi amaran kerasnya agar semua tender kerajaan dibuat melalui proses dan peraturan yang betul.
Berucap di Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, setiap tender perlu diteliti mengikut keperluan semasa negara.
"Ikut proses. Nak beli umpamanya perkakasan digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) yang baru, ikut proses," katanya pada Khamis.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Ujar beliau, perkara sama perlu dititik beratkan ketika proses pemperolehan aset pertahanan negara.
"Jangan beli kapal, (kemudiannya) berpuluh-puluh tahun tersadai. Hilang berbilion ringgit, kita diam.
"Ini kerja yang akan menjahanamkan negara," jelas Anwar.
Menurutnya, sebarang cubaan rundingan terus tender tidak akan dilayan walaupun terdapat surat yang dikirimkan.
"Saya tidak peduli surat dari mana. Semua tender perlu melalui proses dan disahkan Kementerian Kewangan.
"Saya tidak akan luluskan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar terus berikrar untuk tidak membiarkan kekayaan negara terus dirompak.
"Ini jawapan saya. Saya tidak akan biarkan (malah) sedaya upaya, saya akan cuba membersihkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

