Surah al-Saff formula kemenangan umat Islam akhir zaman

SHAH ALAM - Surah al-saff yang dimulakan dengan tasbih mengandungi formula utama kemenangan umat Islam untuk melawan musuh dan memperkukuhkan perpaduan ummah.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, kemenangan umat Islam pada akhir zaman bukannya terletak kepada kekuatan fizikal atau kekuasaan duniawi semata-mata.
Sebaliknya, Fazrul menjelaskan formula tersebut sebenarnya sudah tertulis dalam surah al-saff yang menekankan supaya orang beriman kembali bertasbih dan menyucikan ALLAH SWT.
"Walaupun sudah 100 tahun umat Islam mengalami kejatuhan sejak 1924, namun kita ada dibekalkan dengan formula kemenangan melalui tasbih. Syarat utama untuk meraih kemenangan ini adalah kita perlu menggerakkan kempen dunia untuk bertasbih dan mengingati ALLAH SWT.
"Dengan kembali kepada tasbih, umat Islam boleh memperoleh bantuan daripada ALLAH SWT yang bersifat Al-Aziz dan Al-Hakim, untuk meraih kemenangan yang hakiki," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mentadabbur surah al-saff sempena majlis taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 2025 bertempat di Studio My #QuranTime Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan qari, Syukri Ali.
Sementara itu, Fazrul turut menegaskan mengenai pentingnya umat Islam sentiasa mengikuti perintah ALLAH.
Namun, beliau berkata, manusia dan jin sering kali gagal untuk mengikuti peraturan ini, walaupun mereka diajak untuk bersatu dengan alam dan menyerahkan diri kepada ALLAH.
"Inilah mesej utama kempen World #QuranHour 2025 - untuk memastikan umat Islam di seluruh dunia kembali bersatu dalam menyucikan ALLAH dengan satu hati, sebagaimana yang dilakukan oleh alam," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa kemenangan sejati bukanlah milik mereka yang merasakan diri mereka sempurna atau lebih tinggi daripada ALLAH.
"Walaupun manusia yang sering menganggap diri mereka suci ketika beribadah, tetapi gagal untuk mengamalkan nilai-nilai murni tersebut dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam urusan pekerjaan dan keluarga.
"Sebagai contoh, terdapat individu yang terlibat dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa kerana merasakan diri mereka lebih sempurna daripada ALLAH.
"Jika kita melihat ranking dunia dalam hal integriti, negara-negara Islam sering berada di kedudukan tercorot. Ini kerana banyak yang pecah amanah dalam pekerjaan dan kehidupan. Tetapi, jika kita mengosongkan diri kita dan hanya menyandarkan diri kepada ALLAH, kita akan mendapat pertolongan dan kemenangan," jelas Fazrul.
Katanya, bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, umat Islam perlu meningkatkan keimanan dan berjihad di jalan ALLAH dengan penuh keikhlasan termasuk di media sosial.
"Masa 24 jam yang kita ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya, termasuklah dengan menggunakan kamera, kepakaran, harta, dan segala potensi yang ada untuk berbakti kepada umat," tambahnya.
Dalam pada itu, Fazrul turut mengajak umat Islam untuk mengambil bahagian dalam World #QuranHour 2025 yang akan dilaksanakan pada 25 Mac 2025 sebagai tanda penyatuan hati, semangat, dan tekad untuk memperbaiki diri, serta memohon kemenangan dan pertolongan dari ALLAH SWT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
