World #QuranHour 2025 simbol penyatuan umat Islam seluruh dunia

SHAH ALAM - World #QuranHour 2025 bukan sekadar majlis bacaan al-Quran semata-mata tetapi ia merupakan simbol penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, walaupun program itu hanya mengambil masa selama satu jam untuk membaca al-Quran secara serentak, hakikatnya impak positif yang boleh diperolehi daripada aktiviti itu amat besar.

"Sebagai umat Islam, kita tidak boleh anggap World #QuranHour 2025 sekadar sesi bacaan al-Quran semata-mata, sebaliknya ia adalah simbol kekuatan Islam yang berpadu atas kalimah ALLAH SWT di bawah satu saf.
"Satu jam membaca al-Quran secara bersama mampu membina ummah berwibawa. Satu dekad World #QuranHour 2025 menyatukan hati-hati yang beriman dari Nusantara ke Timur Tengah, Afrika ke Eropah, marilah kita bangkit sebagai satu ummah yang kuat dan berwibawa.
"Tandakan tarikh ini 25 Mac 2025, satu hati, satu saf, satu ummah bersatu dalam al-Quran bersama sebagai 'bunyanun marsus'. World #QuranHour 2025," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video pendek disiarkan semasa majlis taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan qari, Syukri Ali.
Sementara itu, Menteri Agama Republik Indonesia, Profesor Dr K H Nasaruddin Umar berpandangan, inisiatif dilaksanakan Kumpulan Karangkraf dan WUIF untuk memperkuatkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia adalah selari dengan ajaran Islam dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Nasaruddin menjelaskan, perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW selepas berhijrah ke Madinah adalah usaha merapatkan persaudaraan dalam kalangan kaum Kabilah Aus dan Khazraj sekali gus menyatupadukan golongan terbabit.
"Begitu juga tindakan Nabi Muhammad menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar. Baginda seterusnya membangunkan masjid bagi merapatkan hubungan dalam kalangan para sahabat.
"Saya selaku Menteri Agama Republik Indonesia dan Imam Besar Masjid Istiqlal menyokong penuh usaha WUIF untuk memupuk kesatuan ummah di seluruh dunia menerusi World #QuranHour 2025.
"Saya juga menyeru seluruh umat Islam di Nusantara dan dunia untuk bergabung menjayakan World #QuranHour 2025 yang bakal diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 25 Mac nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
