PPAS sasar dua juta rakyat sertai World #QuranHour 2025

SHAH ALAM - Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyasarkan lebih dua juta orang awam dari seluruh negara bakal menyertai World #QuranHour 2025 pada 25 Mac ini, yang melibatkan 14 perpustakaan awam di seluruh negara.
Pengarahnya, Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, sasaran tersebut realistik susulan PPAS berjaya menarik lebih 1.92 juta peserta untuk menyertai World #QuranHour 2024.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil sinergi PPAS bersama Kumpulan Karangkraf, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan 14 perpustakaan awam lain di seluruh negara.
"Apa yang memeranjatkan adalah Pulau Pinang menjadi negeri paling ramai menyertai World #QuranHour 2024 dengan penyertaan 772,000 orang, diikuti Pahang (704,796) dan Terengganu (153,988).
"Saya lega ada negeri mencatatkan kenaikan luar biasa sekali gus membolehkan kita melepasi sasaran lebih sejuta penyertaan," katanya ketika majlis taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan qari, Syukri Ali.
Organisasi media yang turut hadir dan menjayakan penganjuran World #QuranHour 1446H dengan tema #SavingTheUmmah adalah Astro Oasis selaku penyiar utama, Sinar Harian, Sinar Daily, Nu Ideaktiv, Bernama, Astro Awani, TV Alhijrah, TV3, RTM, TV9, Media Prima, Utusan TV, Utusan Malaysia, Media Jakim, TV IKIM, IKIM FM serta Denaihati.com.
Selain itu, PPAS, Tourism Selangor dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut memainkan peranan besar selaku penyedia lokasi World #QuranHour 1446H kali ini.
Mastura berkata, pihaknya sudah membuat perancangan strategik bagi membolehkan PPAS bukan sekadar mencapai sasaran penyertaan lebih dua juta, malah menampilkan kelainan tersendiri pada tahun ini.
Menurutnya, tindakan itu perlu bagi menggalakkan umat Islam terutama generasi muda di Malaysia tertarik untuk menjadikan amalan membaca al-Quran dan bahan bacaan berfaedah sebagai rutin harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
