Lelaki Israel ‘silap langkah’ buang sampah berisi iPad, pistol

Avitan yang beralamat di Bnei Brak, Israel dihukum penjara maksimum tujuh tahun atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api, tahun lalu.
Avitan yang beralamat di Bnei Brak, Israel dihukum penjara maksimum tujuh tahun atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api, tahun lalu.
A
A
A

KAJANG – Seorang lelaki Israel tersilap langkah apabila menyuruh seorang kakitangan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur membuang sampah berisi iPad dan beg simpanan pistol, pada 26 Mac tahun lalu.

Tindakan itu menyebabkan jenayahnya memiliki senjata api, berjaya dihidu pihak berkuasa sehingga dia akhirnya dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Berdasarkan fakta kes yang dibaca oleh jurubahasa yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang, Avitan, 39, mengaku menyerahkan satu plastik sampah berwarna putih kepada kakitangan tersebut, di lobi hotel pada jam 6 petang.

Selepas mengeluarkan barangan dalam beg tersebut, kakitangan berkenaan bersama penyelia keselamatan hotel selaku pengadu kes, menemui satu iPad, dua kotak beg simpanan pistol, beberapa sarung tangan dan stoking.

Bimbang dengan keselamatan diri dan hotel, pengadu kemudiannya membuat laporan polis.

Pihak polis yang tiba di hotel berkenaan mendapati plastik itu mengandungi satu bekas simpanan pistol bertulis Glock, sekotak bekas simpanan pistol yang bertulis Kuzey, satu iPad, 13 sarung tangan getah, 16 stoking, satu beg galas, satu kad bertulis Plephone Prepaid Talk&Co, resit dan empat bungkusan tisu basah.

Dua anjing K9 dikerah ke hotel berkenaan bagi mengesan sebarang kesan bahan letupan.

Semasa pemeriksaan dijalankan, polis mendapati terdapat bagasi hitam di dalam bilik namun pemeriksaan tidak dapat dijalankan.

Bapa kepada tiga anak itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk soal siasat namun dibebaskan sementara, selepas siasatan awal dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Mac, pegawai penyiasat menerima arahan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bilik hotel terbabit.

Bagaimanapun, tertuduh dilihat gementar dan meronta-ronta sambil meminta supaya pihak berkuasa tidak menyentuh barangan peribadinya.

Semasa berada di balai, tertuduh enggan membuka bagasi tersebut biarpun diarahkan oleh pihak polis.

Mereka kemudiannya membuka beg itu dan menemui senjata api bersarung stoking dan empat kotak bertulisan Shell Shock Nas3 Dan Bullet Master berserta peluru.

Pada Rabu, lelaki yang beralamat di Bnei Brak, Israel dihukum penjara maksimum tujuh tahun atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api, tahun lalu.

Avitan, 39, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah semasa prosiding ditetapkan untuk sebutan kes, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohd Zaki Mohd Salleh yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!