'Jalani saringan kusta jika belum berbuat demikian' - Aminuddin

SEREMBAN - Penduduk di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur di Kuala Pilah yang masih belum melakukan saringan pengesanan kusta diminta untuk berbuat demikian dengan segera.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri meminta supaya penduduk di dua kampung itu tampil melakukan saringan.
"Kes berkenaan bagaimanapun tidak membimbangkan, dalam keadaan terkawal dan baik.
"Saringan di perkampungan Orang Asli lain pula tidak dilakukan susulan tiada kes setakat ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Terdahulu, KKM memberi jaminan situasi penyakit kusta di Kuala Pilah terkawal dan pesakit tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.
KKM menerusi kenyataannya memaklumkan, orang ramai diminta supaya memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan.
Sementara itu, setakat 19 Februari lalu lepas, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan telah menjalankan saringan ke atas 368 daripada 460 penduduk sebagai langkah mempergiat pengesanan kes kusta dua perkampungan tersebut.
Langkah terbabit adalah sebahagian daripada usaha mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak Julai 2024 dan sehingga kini sembilan kes disahkan kusta dengan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut garis panduan ditetapkan.
Seorang daripada pesakit berusia 18 tahun dari Kampung Chergun meninggal dunia pada 17 Februari lalu.
Sebelum itu, pesakit dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) setelah mengalami gejala demam, sakit perut, muntah dan diberi rawatan oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta khidmat konsultasi dari Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
