Kerajaan negeri ambil langkah wajar cegah penularan kusta - MB

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan kerajaan negeri telah mengambil langkah wajar selepas menerima laporan kusta di dua perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah.
Beliau berkata, beliau berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa penyakit kusta yang melanda Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur dalam situasi terkawal.
Bagaimana katanya, kenyataan dikeluarkan kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini dibuat selepas mendapat maklumat awal daripada Hal Ehwal Orang Asli.
"Jadi apa yang saya dikatakan pada Rabu itu adalah perkara yang bersangkutan, jadi tiada masalah.
"Perkara ini telah mendapat liputan yang baik dan perhatian seluruh negara, saya harap ini menjadi tumpuan agar kejadian sama tidak berulang di Negeri Sembilan dan di negara kita," katanya mengulas perkembangan terkini status kusta di Kuala Pilah.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kalender Acara (COE) Negeri Sembilan 2025) di Mydin Mall Seremban 2 pada Jumaat.
KKM menerusi satu kenyataan memberi jaminan situasi kusta di Kuala Pilah dalam keadaan terkawal dan pesakit kusta tidak perlu diasingkan susulan terdapat rawatan berkesan bagi penyakit itu.
Ujar kenyataan itu, sehingga 19 Januari lalu sejumlah 368 daripada 460 orang penduduk di Kampung Chergun dan Guntur telah menjalani saringan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak bulan Julai 2024.
Aminuddin berkata, bilangan kes dan status semasa berhubung perkara itu perlu dirujuk menerusi laporan dikeluarkan KKM.
"Berkaitan kuarantin, kita ikut seperti diputuskan KKM (pesakit tidak perlu diasingkan). Kenyataan yang saya umum sebelum ini adalah melalui laporan yang saya dapat.
"Bagaimanapun, KKM sudah keluar kenyataan bahawa kusta bukan wabak yang menakutkan namun masyarakat dinasihati untuk terus berhati-hati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

