Perbezaan politik tidak halang calon PH Jason hormat bekas rakan parti

MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu Jason Tze-Xi Nathan membuktikan perbezaan politik tidak menghalang rasa hormat kepada bekas rakan sejawatannya dalam DAP Datuk Norhizam Hassan Baktee semasa mereka bertembung pada siri kempen di Kampung Solok Musai hari ini.
Jason yang berhadapan persaingan empat penjuru menentang Norhizam, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu yang kini mewakili Bersatu, dilihat beramah mesra dengan penduduk serta ahli jentera kempen Norhizam yang menjamu selera di sebuah kedai makan, di sini.
Ahli jawatankuasa kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu berkata, walaupun mereka memilih haluan politik berbeza, namun kedua-duanya kekal saling menghormati kerana pernah bekerjasama dalam DAP.
"Saya pernah pergi ke rumah beliau untuk ziarah hari raya dan pernah berjumpa dengannya kerana dahulu beliau antara pemimpin saya dalam DAP. Saya jumpa beliau di pusat penamaan calon, kita bersembang dan hubungan kami kekal mesra.
"Bagi saya, ini proses demokrasi dan setiap individu yang memenuhi kriteria berhak bertanding. Rakyat mempunyai hak untuk menilai berdasarkan apa yang kita tawar sebagai calon sama ada mahu memilih kita atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat di Kampung Solok Musai, di sini.
Jason berkata, beliau tidak akan terheret dengan kempen menyerang peribadi atau mempertikai rekod pihak lawan, sebaliknya memilih untuk menumpukan sepenuh tenaga membawa tawaran khidmatnya kepada kira-kira 26,000 pengundi di DUN Pengkalan Batu.
"Saya bukan bertanding atas dasar permusuhan dan saya tidak fikir mengenai mereka (calon lawan) dalam konteks negatif. Saya fokus dengan kempen sendiri (dengan) membawa profil diri dan tunjuk kepada penduduk.
"Saya tidak hentam calon lain atau mempertikai sama ada wakil rakyat terdahulu menunaikan janji atau tidak. Bagi saya, ini (tentang) diri saya dan apa yang hendak ditawarkan, dan saya harap diberi peluang untuk berkhidmat kepada pengundi di sini, jika ada rezeki,” katanya.
DUN Pengkalan Batu menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Siti Aisyah Mahmood dari Barisan Nasional (BN), Goh Han Koon dari Parti Bersama Malaysia (Bersama), Jason (PH) dan Norhizam (Bersatu).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
