Dua lori berlanggar, pemandu maut tersepit

TEMERLOH - Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya melanggar belakang lori lain di Kilometer 26 Jalan Jerantut-Temerloh di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 38 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kemalangan membabitkan lori jenis rigid milik Gardenia Bakeries dan Isuzu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua lori dari arah Jerantut ke Temerloh.
"Apabila sampai di tempat kejadian, lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 38 tahun telah memberi isyarat hendak masuk ke simpang kanan.
"Mangsa gagal mengawal lorinya lalu melanggar bahagian belakang lori Isuzu terbabit," katanya dalam sidang pada Selasa.
Ujarnya, akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa tersepit di dalam lori terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, kejadian juga menyebabkan lori yang dipandu mangsa remuk di bahagian depan.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

