Tiada ikan piranha ditangkap sempena program mitigasi ikan asing di Empangan Klau

Adnan (kanan) menimbang hasil tangkapan peserta Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau, Raub. Foto : DOF
Adnan (kanan) menimbang hasil tangkapan peserta Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau, Raub. Foto : DOF
A
A
A

RAUB – Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang Program Mitigasi Ikan Asing yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu di Empangan Klau di sini.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, bagaimanapun berkata, keadaan itu tidak bermakna ikan piranha sudah tiada di empangan berkenaan, memandangkan penemuan spesies tersebut di kawasan itu sebelum ini telah disahkan.

"Program mitigasi ini merupakan antara usaha pengurusan perikanan darat bagi mengawal populasi ikan asing dan mengurangkan risiko gangguan terhadap spesies ikan tempatan.

“Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang program ini. Namun, pemantauan dan penilaian saintifik perlu diteruskan bagi mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penemuan dua ikan yang didakwa menyerupai jenis piranha di Empangan Klau, Raub, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan sama memaklumkan, penyelidikan menggunakan kaedah DNA persekitaran turut dilaksanakan dalam program ini bagi membantu mengesan kemungkinan kehadiran ikan piranha di Empangan Klau.

Katanya, kaedah tersebut membolehkan sampel air dianalisis bagi mengesan bahan genetik yang mungkin ditinggalkan oleh organisma akuatik.

"Keputusan akhir penyelidikan eDNA akan ditentukan selepas proses analisis dan penilaian saintifik selesai.

"Oleh itu, sebarang kesimpulan mengenai status kehadiran piranha di Empangan Klau perlu mengambil kira hasil analisis tersebut bersama maklumat pemantauan dan bukti lapangan yang berkaitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

DOF turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan ikan peliharaan atau spesies bukan tempatan ke perairan semula jadi.

"Sebarang penemuan ikan yang disyaki spesies asing hendaklah dilaporkan kepada Pejabat Perikanan berhampiran untuk tindakan dan pengesahan lanjut," katanya.

Mengulas mengenai program mitigasi, DOF memberitahu, program itu bertujuan mengurangkan populasi ikan asing, menilai komposisi ikan di perairan empangan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman spesies asing terhadap biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik.

Program yang dijalankan di empangan berkeluasan kira-kira 25 kilometer persegi itu melibatkan 150 peserta, terdiri daripada 100 pemancing, 32 peserta menjala dan 18 peserta menjaring.

Aktiviti mitigasi dilaksanakan melalui kaedah memancing, menjala dan menjaring bagi membantu mengeluarkan ikan asing dari perairan empangan.

"Sepanjang program, sebanyak 156.586 kilogram (kg) ikan asing direkodkan, melibatkan tiga kumpulan utama iaitu Peacock Bass, Tilapia Zebra dan Lampam Jawa.

"Daripada jumlah itu, tangkapan menggunakan jaring mencatatkan 86.628kg, diikuti memancing (47.106kg) dan menjala (22.852kg).

"Selain itu, kira-kira 43kg ikan tempatan turut direkodkan, termasuk toman, lampam sungai, patung dan sia," menurut kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!