'Opah' maut dilanggar lori ketika kawal lalu lintas acara larian maraton

Opah maut selepas dilanggar lori ketika bertugas mengawal lalu lintas acara larian maraton di Batu 10, Jalan Gombak Lama, Sabtu lalu.
Opah maut selepas dilanggar lori ketika bertugas mengawal lalu lintas acara larian maraton di Batu 10, Jalan Gombak Lama, Sabtu lalu.
A
A
A

GOMBAK - Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut dilanggar sebuah lori ketika bertugas mengawal lalu lintas acara larian maraton di Batu 10, Jalan Gombak Lama, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian kira-kira jam 3.48 petang.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu mangsa yang merupakan wanita berumur 73 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

"Mangsa sedang bertugas mengawal lalu lintas bagi acara larian maraton dan berada di motosikalnya di bahu jalan sebelah kiri serta memberi arahan kepada beberapa kenderaan untuk mengosongkan laluan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, secara tiba-tiba, sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun telah melanggar mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dari Hospital Selayang.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor K Pavinar di talian 017-4424699 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dikenali sebagai Opah maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 12 di sini, Sabtu lalu.

Mangsa, Natrah Ahmad, seorang wanita berumur lingkungan 70-an, sebelum ini sering bertugas sebagai petugas lalu lintas di beberapa kawasan sekitar Gombak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!