'Opah' penjaga lalu lintas yang disayangi maut dirempuh lori

GOMBAK – [DIKEMAS KINI] Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dikenali sebagai Opah maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 12 di sini, Sabtu lalu.
Mangsa, Natrah Ahmad, seorang wanita berumur lingkungan 70-an, sebelum ini sering bertugas sebagai petugas lalu lintas di beberapa kawasan sekitar Gombak.
Seorang pengguna Facebook, Wan Luqman, dalam hantaran berkongsi bahawa arwah pernah mengawal lalu lintas di hadapan sekolah anaknya sebelum ditugaskan ke lokasi lain.
Menurutnya, kali terakhir beliau melihat arwah ialah ketika wanita itu bertugas mengawal lalu lintas di hadapan Masjid Al-Khairiyah pada hari kejadian.
"Sempat senyum pada Opah semalam sebelum masuk ke masjid untuk solat Jumaat. Lepas solat, saya beli air kelapa... terdetik nak belanja Opah sebab cuaca panas terik, tapi entah kenapa saya tak sempat tapaukan untuk dia.
"Hari ini saya terkilan sangat sebab baru tahu dia meninggal dunia... kemalangan kena langgar lori,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Arwah digambarkan sebagai seorang yang berdedikasi dalam menjalankan tugasnya, menjaga keselamatan murid-murid yang melintas jalan seperti seorang nenek menjaga cucunya sendiri.
Penduduk setempat turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian wanita itu yang dikenali kerana jasa dan keprihatinannya dalam memudahkan urusan orang ramai.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian kira-kira jam 3.48 petang.
"Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu mangsa yang merupakan wanita berumur 73 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.
"Mangsa sedang bertugas mengawal lalu lintas bagi acara larian maraton dan berada di motosikalnya di bahu jalan sebelah kiri serta memberi arahan kepada beberapa kenderaan untuk mengosongkan laluan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, secara tiba-tiba, sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun telah melanggar mangsa.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dari Hospital Selayang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

