Dugaan menjelang Ramadan, pemilik reda restoran terbakar

HULU TERENGGANU - Seorang pemilik restoran kari kepala ikan terkenal di Kampung Pasir Tinggi, di sini reda apabila premis miliknya terbakar kira-kira 60 peratus sebelum menyambut Ramadan tidak lama lagi.
Abdul Mutalib Mohamad, 38, berkata, walaupun sedih kejadian yang menimpa tersebut namun dia bersyukur semasa kejadian tidak berlaku kemalangan jiwa susulan kedainya tidak beroperasi pada hari kejadian.
"Semasa kejadian saya berada di Kelantan sebab bawa keluarga serta kesemua pekerja restoran bercuti. Ketika nak berkemas balik, saya terima panggilan telefon daripada adik yang menangis memberitahu restoran terbakar kira-kira jam 5.30 petang Isnin.

"Ada saksi memberitahu dengar bunyi letupan dan api bermula di bahagian dapur sebelum merebak sehingga menyebabkan separuh kedai terbakar.
"Saya memang terkejut dan terus bergegas pulang sebaik mengetahui khabar berita tersebut namun hanya sempat sampai lokasi kejadian jam 10 malam akibat kesesakan lalu lintas. Memang sedih namun reda apa yang berlaku dan anggap ini sebagai ujian sebelum menyambut Ramadan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mengulas lanjut, Abdul Mutalib berkata, dia mengalami kerugian lebih RM50,000 selain turut meluahkan rasa sedih kerana banyak tempahan daripada pelanggan terpaksa dibatalkan akibat kejadian tersebut.
"Hari ini sepatutnya berniaga semula tetapi disebabkan kejadian yang berlaku itu maka restoran ini tidak dapat beroperasi.
"Saya minta maaf sebab ramai pelanggan yang sudah tempah tetapi kedai ini terpaksa ditutup buat sementara waktu. Kita juga serahkan pada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan lanjut," ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairi Mohd Dali berkata, laporan kejadian diterima pada jam 5.54 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai dibantu sembilan anggota BBP Kuala Terengganu digegaskan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kedai makan dianggarkan berkeluasan 15 meter x 18 meter dan ketika kejadian restoran tersebut dipercayai tidak beroperasi kerana kebanyakan pekerjanya sedang bercuti dan kebakaran itu juga tidak melibatkan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
