Persiapan akhir menjelang Madinah Ramadan 2025

Pengunjung yang mengambil kesempatan menunaikan solat Tarawih di Madinah Ramadan tahun lepas.
Pengunjung yang mengambil kesempatan menunaikan solat Tarawih di Madinah Ramadan tahun lepas.
A
A
A

KOTA BHARU - Persiapan akhir acara kemuncak di Kelantan setiap kali bulan puasa, giat dijalankan menjelang 1 Ramadan dengan konsep baharu tahun ini yang menampilkan elemen muzium bagi memaparkan sejarah dan perjalanan dua dekad Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, Madinah Ramadan tahun ini dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang bulan puasa dengan pelbagai pengisian menarik.

“Madinah Ramadan ditunggu-tunggu setiap kali bulan puasa dan tahun ini, kami menampilkan konsep muzium yang akan memaparkan sejarah Kota Bharu bermula tahun 1990 sehingga kini, selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.

Majlis berbuka puasa turut diadakan di Madinah Ramadan.
Majlis berbuka puasa turut diadakan di Madinah Ramadan.

“Ia bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai perjalanan ibu negeri Kelantan ini sehingga diangkat sebagai Bandar Raya Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, persiapan Madinah Ramadan di Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini itu kini mencapai tahap 90 peratus dan sedang memasuki fasa akhir kerja-kerja pemasangan lampu serta sistem pembesar suara.

Menurutnya, Madinah Ramadan yang berlangsung sejak lebih tiga dekad lalu akan terus diperhebatkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk kuliah ilmu, solat tarawih, dan majlis berbuka puasa beramai-ramai.

Antara acara utama yang bakal berlangsung ialah pelancaran Tabung Ihya Madinah Ramadan pada 28 Februari yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dengan dimulakan kuliah oleh Ustaz Azhar Idrus.

Artikel Berkaitan:

Katanya, majlis perasmian Madinah Ramadan pula akan diadakan pada 6 Mac ini.

“Satu acara khas pada 4 Mac akan menampilkan sambutan Hari Kemenangan Palestin dengan penampilan imam tarawih dari Palestin, Sheikh Naeem Mushtaha serta ceramah khas oleh penceramah jemputan berkaitan perjuangan rakyat Palestin.

Hilmi (dua dari kanan) yang melihat persiapan akhir tapak Madinah Ramadan 2025.
Hilmi (dua dari kanan) yang melihat persiapan akhir tapak Madinah Ramadan 2025.

“Setiap hari, seramai 1,000 individu akan berbuka puasa di Madinah Ramadan dengan menu yang berbeza-beza.

“Selain itu, ruang solat disediakan mampu memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa bagi menunaikan solat tarawih,” katanya.

Kos penganjuran Madinah Ramadan tahun ini mencecah RM1.8 juta, lebih tinggi berbanding RM1.3 juta tahun lalu, dengan peningkatan itu bertujuan menambah baik fasiliti bagi keselesaan pengunjung.

“Kami menambah baik sistem pencahayaan, pembinaan khemah lebih luas serta kemudahan untuk orang ramai bersolat dan berbuka puasa dengan lebih selesa,” kata Hilmi.

Selain itu, dua imam dari Mesir, Sheikh Mohammed Sobhy Gomaa Elsheikh dan Sheikh Ayman Adel Mostafa Abdelhafeez Mohamed, dipilih untuk memimpin solat tarawih sepanjang Ramadan.

“Dengan persiapan yang hampir lengkap, Madinah Ramadan 2025 dijangka sekali lagi menjadi pusat tumpuan umat Islam Kelantan sepanjang bulan mulia ini, bukan sahaja sebagai lokasi berbuka puasa dan ibadah, tetapi juga sebagai wadah menghayati sejarah Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam,” kata Hilmi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!