Wanita tikam pengurus hingga mati selepas ditegur merokok

SAMUT SAKHON – Seorang wanita di Thailand bertindak menikam pengurusnya sehingga maut di sebuah kedai serbaneka di wilayah Samut Sakhon pada petang Ahad, selepas dia ditegur kerana merokok ketika bertugas.
Kejadian berlaku sekitar jam 5 petang (waktu tempatan) di kedai serbaneka di Jalan Siwa Pa Sawat-Ekkachai.
Polis dari Balai Polis Mueang Samut Sakhon yang tiba di lokasi bersama pasukan penyelamat dimaklumkan bahawa suspek masih berada di dalam stor bersama mayat mangsa.
Anggota polis memasuki bilik stor dan mendapati suspek, Kamonrat, 28, masih berdiri di sebelah jasad mangsa, Tawinan, 35. Polis cuba memujuknya supaya meletakkan pisau yang dipegang, namun Kamonrat enggan bekerjasama.
Keengganannya itu memaksa polis menggunakan kekerasan bagi menahannya. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam operasi itu dan suspek juga enggan memberikan sebarang kenyataan kepada polis mengenai motif serangan tersebut.
Menurut rakan sekerja, sebelum kejadian, Tawinan telah memanggil Kamonrat ke satu pertemuan tertutup. Dalam pertemuan itu, Tawinan dipercayai menegur prestasi kerja Kamonrat dan memberi amaran supaya tidak merokok ketika bekerja.
Teguran itu dipercayai telah menimbulkan kemarahan Kamonrat, yang kemudian bertindak menetak wajah dan tangan Tawinan sebelum menikamnya berkali-kali.
Sementara itu, kakak Kamonrat, Pornjarat, 29, memberitahu polis bahawa adiknya merupakan seorang ibu tunggal. Pada hari kejadian, dia terdengar anak saudara lelakinya (anak Kamonrat) menerima panggilan telefon sebelum tiba-tiba berlari keluar rumah.
Pornjarat yang curiga kemudian mengekori dan mendapat tahu bahawa adiknya telah ditikam di tempat kerja. Namun, apabila dia cuba menghubungi Kamonrat untuk mendapatkan kepastian, seorang rakan sekerja menjawab panggilan dan memaklumkan bahawa Kamonrat bukan mangsa, tetapi suspek dalam insiden tikaman terbabit.
Pornjarat juga mendedahkan bahawa adiknya sebelum ini pernah mengadu mengenai seorang rakan sekerja yang dikatakan mempunyai masalah mental.
Menurut Kamonrat, individu itu kerap bercakap sendiri dan semakin lama semakin kuat suaranya, menyebabkan dia dan pelanggan berasa terganggu.
Kamonrat pernah menyatakan hasrat mahu individu itu dipecat sebelum dia ‘hilang kawalan dan mencederakan seseorang’. Bagaimanapun, Pornjarat tidak dapat mengesahkan sama ada individu yang dimaksudkan oleh adiknya adalah mangsa kejadian.
Susulan kejadian itu, Kamonrat kini berdepan tuduhan membunuh dengan sengaja di bawah Seksyen 288 Kanun Jenayah Thailand. Jika disabit kesalahan, dia boleh dihukum mati, penjara seumur hidup, atau penjara antara 15 hingga 20 tahun. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
