Kaki judi tikam bekas isteri hingga mati selepas gagal pinjam duit

CHANGHUA - Seorang lelaki di Taiwan didakwa membunuh bekas isterinya selepas wanita itu enggan meminjamkan wang, dalam kejadian tragis yang berlaku di hadapan dua anak mereka.
Suspek, dikenali sebagai Li, 61, merupakan seorang peminum arak tegar dan mempunyai sejarah keganasan rumah tangga. Dia sering meminta wang daripada keluarga dan telah berhutang NT$1 juta (RM150,000) akibat ketagihan judi.
Mangsa, Cai, 50, sebelum ini pernah membantu membayar hutang tersebut tetapi akhirnya memfailkan penceraian dan mendapatkan perintah perlindungan daripada mahkamah selepas tidak tahan dengan sikap ganas Li.
Namun, Li terus mengganggu bekas isterinya untuk mendapatkan wang. Pada malam 16 November 2024, dalam keadaan mabuk, dia pergi ke rumah Cai di Daerah Erlin dan menuntut NT$650,000 (RM100,000).
Apabila permintaannya ditolak, dia bertindak agresif dengan menumbuk wanita itu sebelum mencapai sebilah sabit dari ruang tamu.
Dia turut cuba menyerang anak perempuan mereka yang berusia 26 tahun, tetapi Cai bertindak melindungi anaknya.
Dalam pergaduhan itu, Li menikam bekas isterinya berkali-kali, menyebabkan kecederaan parah, termasuk di tangan kanan hingga mendedahkan tulang.
Kemudian, wanita itu dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah.
Selepas kejadian, Li melarikan diri dengan mencuri sebuah kereta. Kamera keselamatan merakamnya di sebuah kedai perkakasan, di mana dia membeli pisau buah dengan alasan untuk mempertahankan diri.
Bagaimanapun, polis berjaya menjejaki pergerakannya dan menahannya di Daerah Pituo pada malam yang sama sebelum membawanya semula ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
Serangan kejam itu turut berlaku di depan anak lelaki pasangan tersebut yang berusia sembilan tahun, menyebabkan kanak-kanak itu mengalami trauma teruk.
“Bapa selalu memukul orang dan meminta wang daripada ibu. Saya pun pernah dipukul,” kata kanak-kanak itu kepada media.
“Saya harap bapa dihukum mati, supaya dia tak boleh menyakiti kami lagi,” tambahnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
