Air Selangor dalam proses penjenamaan semula

Air Selangor memperkenalkan logo baharu bagi menggantikan logo yang lama.
Air Selangor memperkenalkan logo baharu bagi menggantikan logo yang lama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kini dalam proses penjenamaan semula bagi memberikan perkhidmatan air terbaik kepada pengguna.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata, Air Selangor telah memperkenalkan logo baharu bagi menggantikan logo yang lama.

Menurutnya, pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dinasihatkan menggunakan nama Air Selangor sebagai syarikat pembekalan air tunggal bukan lagi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

“Air Selangor merupakan syarikat pembekal tunggal bagi perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya setelah menerima lesen bagi merawat dan mengagihkan bekalan air pada 13 September tahun lalu.

“Berikutan itu, Air Selangor mula mengeluarkan bil air atas nama Air Selangor bagi menggantikan Syabas sejak September lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Halem
Abdul Halem

Beliau berkata, pemberian lesen kepada Air Selangor susulan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pengambil alihan Syabas oleh Kumpulan Air Selangor mulai 15 Oktober 2015.

Katanya, selain Syabas kesemua syarikat konsesi rawatan air di Selangor termasuk PNSB Water Sdn Bhd, Konsortium Air Sdn Bhd (KASB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium Abass Sdn Bhd telah diambil alih oleh Air Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Selain pertukaran nama, Air Selangor juga ingin menasihatkan pelanggan untuk tidak lagi menghubungi talian bebas tol (Puspel) di talian 1-800-88-5252 kerana talian tersebut tidak lagi boleh diguna pakai.

“Sebaliknya, pelanggan disaran menghubungi Air Selangor di talian 15300 yang beroperasi 24 jam sehari untuk sebarang pertanyaan dan aduan mengenai bekalan air.

“Air Selangor turut menggalakkan pelanggan untuk muat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk info, pertanyaan dan bantuan bekalan air,” kata beliau.