Bekas atlet MMA warga Iran miliki 1.85 kg ganja dijel sembilan tahun, 20 sebatan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas atlet seni bela diri campuran (MMA) warga Iran dihukum penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin kerana memiliki 1.8583 kilogram dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.
Ahmad Dehgani, 27, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan tertuduh dihukum penjara sembilan tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Mac 2023 lalu.
Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah berkenaan dengan berat bersih 997.7 gram dan 860.6 gram di Jalan Sri Permaisuri 8, Cheras, serta Dang Wangi, di sini antara jam 3 dan 4.30 petang, 16 Mac 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun serta maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Khalijah Mohd Khalid mencadangkan hukuman penjara berjalan secara berasingan.
Bagaimanapun, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara dalam tempoh singkat.
Menurutnya, Ahmad merupakan penuntut Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan tetapi tidak sempat menamatkan pengajian selepas ditahan pihak polis.
"Anak guam mempunyai masa depan cerah berdasarkan rekod pencapaian akademik dan kokurikulumnya.
“Selain itu, Ahmad juga pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan MMA," katanya.
Selain Abdul Rashid, tertuduh turut diwakili seorang lagi peguam, Jacqueline Hannah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

