Bergaduh selepas penyertaan pertandingan seni bela diri dibatal

Rakaman video berdurasi 41 saat yang tular di media sosial menunjukkan suasana kecoh dengan beberapa individu bergelut di dalam dewan sebelum pergaduhan merebak ke luar.
Rakaman video berdurasi 41 saat yang tular di media sosial menunjukkan suasana kecoh dengan beberapa individu bergelut di dalam dewan sebelum pergaduhan merebak ke luar.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan penganjur membatalkan penyertaan dua peserta dalam pertandingan seni bela diri dipercayai mencetuskan pergaduhan di sebuah dewan di Seksyen 19, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.11 petang daripada wakil penganjur yang mendakwa kira-kira 15 individu terbabit dalam insiden berkenaan.

"Dua peserta terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan penganjur lalu bertengkar dan mencabar satu sama lain untuk berlawan di atas gelanggang.

"Tindakan provokasi mereka menyebabkan penyokong turut bertindak agresif sehingga berlaku pergaduhan besar," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seorang peserta lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan dan menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.

"Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki masing-masing berumur 40 dan 45 tahun dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

"Hasil semakan mendapati lelaki berusia 45 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala suspek berusia 40 tahun pula memiliki lima rekod berkaitan pelbagai kesalahan," katanya.

Jelasnya, bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

"Permohonan reman ke atas mereka telah dibenarkan selama dua hari sehingga 25 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Iqbal berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nawinthan Selvaraja di talian 016-2052314.

Terdahulu, tular video memaparkan pergaduhan beberapa individu selepas dipercayai akibat tidak berpuas hati penyertaan mereka dalam satu pertandingan di sini dibatalkan kerana pihak lawan tidak dapat hadir akibat sakit.

Pergaduhan yang pada awalnya hanya membabitkan dua peserta itu kemudian bertukar lebih ganas apabila penyokong masing-masing masuk campur, mengakibatkan pergelutan serta insiden baling kerusi yang menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.

Rakaman video berdurasi 41 saat yang tular di media sosial menunjukkan suasana kecoh dengan beberapa individu bergelut di dalam dewan sebelum pergaduhan merebak ke luar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!