Warga asing tidak layak nikmati tambang percuma Bas.My – Anthony Loke

A
A
A

IPOH - Warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti Bas.My perlu membayar tambang pada kadar biasa, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, warga asing tidak layak menikmati tambang percuma dan pas bulanan perjalanan tanpa had disediakan kerajaan meskipun kelompok itu antara yang kerap menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Anthony (tiga dari kanan) bersama Saarani (empat dari kanan) ketika meninjau operasi Bas.My sempena pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti Bas.My Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh pada Isnin.
Anthony (tiga dari kanan) bersama Saarani (empat dari kanan) ketika meninjau operasi Bas.My sempena pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti Bas.My Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh pada Isnin.

"Warga asing tidak layak untuk mendapatkan kad tanpa had itu. Tambang yang kita subsidi hanya untuk warganegara.

"Kalau warga asing, mereka kena bayar tiket mengikut jarak seperti biasa," katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti Bas.My Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh di sini pada Isnin.

Pelaksanaan Bas.My Ipoh akan melibatkan lima kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak melibatkan pelaburan sebanyak RM13.17 juta setahun.
Pelaksanaan Bas.My Ipoh akan melibatkan lima kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak melibatkan pelaburan sebanyak RM13.17 juta setahun.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri.

Anthony berkata, pas perjalanan tanpa had pada kadar RM50 iaitu Kad 30 Hari Bas.My diperkenalkan sebagai usaha mengurangkan beban rakyat terhadap kos pengangkutan awam di negara ini.

Katanya, penggunaan kad tersebut dapat menjimatkan kos pengangkutan antara RM100 hingga RM150 sebulan dan terpakai di semua laluan Bas.My.

Artikel Berkaitan:

"Kos pengangkutan merupakan antara komponen penting dalam kos sara hidup. Jadi kerajaan memang bersungguh-sungguh bagi membantu rakyat dalam meringankan beban sara hidup mereka.

"Selain itu, dengan kad konsesi Bas.my, tawaran tambang percuma disediakan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah berusia 7 hingga 17 tahun.

"Keistimewaan tambang percuma itu juga diperluaskan kepada golongan mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi, seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025," katanya.

Perkhidmatan Bas.My Ipoh di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dilancarkan pada Isnin.
Perkhidmatan Bas.My Ipoh di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dilancarkan pada Isnin.

Sementara itu, pelaksanaan Bas.My Ipoh akan melibatkan lima kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Daerah Perak Tengah.

Anthony berkata, melalui inisiatif itu, sebanyak 51 bas baharu terdiri 14 bas midi dan 37 mini low floor akan digunakan melibatkan pelaburan sebanyak RM13.17 juta setahun.

"Walaupun pelaburan ini sama berbanding sebelum ini, tetapi tahap perkhidmatan telah ditambah baik dengan penambahan laluan ke Kuala Kangsar dan Kampar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!