Pas ketuai kerajaan Kedah?

Gambar kecil: Mohd Azam
Gambar kecil: Mohd Azam
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah menyerahkan kepada kebijaksanaan Pusat untuk menentukan parti yang layak menerajui Kedah sekiranya pembentukan pakatan baharu dimeterai.

Ketua Penerangannya, Mohd Azam Abdul Samat berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan, namun ia perlu diperhalusi semula oleh kepimpinan Pusat.

Menurutnya, walaupun masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu, Pas Kedah bersedia dengan percaturan politik yang akan diputuskan di peringkat Pusat.

“Kita tunggu arahan Pas Pusat agar selari dengan apa diputuskan. Pas Kedah tidak akan mendahului keputusan Pusat kerana perbincangan dibuat di ibu negara. Apa yang diputuskan kita akur,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pas disebut-sebut bakal mengepalai Kedah susulan memiliki jumlah kerusi terbanyak, namun parti itu menyerahkan kepada kepimpinan Pusat untuk menentukan jawatan Menteri Besar Kedah.

Sekiranya pembentukan kerajaan campuran Perikatan Nasional menjadi kenyataan, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sedia ada turut menyaksikan perubahan kerajaan negeri.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) mempunyai 19 kerusi DUN terdiri daripada tujuh wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), enam kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (4) dan DAP (2).

Gabungan pembangkang ketika ini sebanyak 17 kerusi, iaitu 15 milik Pas dan UMNO (2).

Artikel Berkaitan:

Sekiranya pembentukan pakatan baharu antara Bersatu, Pas dan UMNO berlaku, pakatan itu beroleh 23 daripada 36 kerusi DUN, hanya satu kerusi lagi bagi mencapai majoriti dua pertiga manakala PH dianggotai PKR, Amanah dan DAP dengan 13 kerusi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen BN, Pas tiba di PWTC

Pemimpin tertinggi politik keluar, masuk bangunan Putra Perdana

Politik Malaysia, percaturan seterusnya dinanti

Semua MP akan ditemuduga secara 'personal' oleh Agong

UMNO tolak bersama kerajaan baharu jika ada DAP

Mengulas lanjut Mohd Azam berkata, Pas akan menyokong sebarang penyatuan ummah demi kebaikan rakyat dan negara.

“Walaupun Pas pembangkang, bukan semua isu kita bangkang. Kita bagi pandangan yang boleh manfaatkan Islam, negeri dan rakyat.

"Ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir berdepan krisis menteri besar, Pas bagi sokongan tidak bersetuju dengan cara menggugurkan beliau, jadi untuk bersama tiada masalah,” katanya.

Semalam, penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, perubahan peringkat Pusat turut memberi impak besar di Kedah kerana Menteri Besar adalah dari parti Bersatu.

Sekiranya Bersatu mahu mengekalkan jawatan Menteri Besar, parti itu memerlukan sokongan padu Pas yang memiliki dominasi kerusi terbesar di DUN Kedah.