'Aku dah tak boleh berlari macam dulu'

BACHOK – Seorang remaja dari Kampung Pauh 2, Lubok Pukul di sini, terpaksa melupakan impian untuk bergerak bebas seperti rakan sebaya selepas mengalami penyakit tulang belakang bengkok atau scoliosis sejak berusia sembilan tahun.
Mohamad Hakimi Mohd Nor Fezan, 19, kini hanya mampu mengenang zaman kanak-kanaknya yang ceria sebelum penyakit itu menjejaskan kehidupannya.
Menurut bapanya, Mohd Nor Fezan Husain, 57, penyakit yang dialami anak kedua daripada lima beradik itu mula dikesan ketika dia berada di sekolah rendah.
“Dulu Hakimi aktif bermain bola dengan kawan-kawannya, berlari ke sana-sini seperti kanak-kanak lain namun, apabila dia mengadu sakit belakang, saya ingatkan hanya sakit biasa.
“Tapi lama-kelamaan dia semakin sukar bergerak dengan belakangnya mula membengkok serta sejak itu, pergerakan Hakimi amat terbatas,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Mohd Nor Fezan yang bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan berkata, dia dan isterinya, Atikah Jusoh, 43, berusaha sedaya upaya menjaga anak mereka meskipun keadaan kewangan mereka tidak stabil.
“Kami perlu membawanya ke hospital sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk rawatan dan saya sendiri terpaksa mendukungnya kerana dia sudah tidak mampu berjalan seperti biasa.
“Kakak sulungnya meninggal dunia dalam tidur ketika berusia 16 tahun manakala seorang adiknya yang berumur 16 tahun, Mohd Hamzi pula sakit sama seperti Mohamad Hakimi,” katanya.
Ujarnya, Mohamad Hakimi sudah lama menerima hakikat keadaannya namun percaya jauh di sudut hati remaja itu tetap berharap agar suatu hari nanti dapat bergerak seperti biasa.

“Saya tahu Hakimi rindu zaman dia boleh berlari bebas tanpa perlu bergantung kepada orang lain.
“Sebagai seorang bapa, selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menjaganya,” kata lelaki itu.
Mohamad Hakimi memperoleh kerusi roda dimodifikasi daripada Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya, Universiti Sains Malaysia-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (USM-MAIK) bagi memudahkan pergerakannya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0311141000024393 atas nama Mohd Nor Fezan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

